Projek pembinaan kilang peluru RM80 juta di Negeri Sembilan menanti kelulusan KDN | DagangNews Skip to main content

Projek pembinaan kilang peluru RM80 juta di Negeri Sembilan menanti kelulusan KDN

oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 19 April - Projek pembinaan sebuah kilang peluru bernilai RM80 juta di Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan kini menanti kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Kilang berkenaan akan dibangunkan oleh syarikat Myaltech Sdn. Bhd. (Myaltech) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan di atas tanah seluas 80.93 hektar.

 

Myaltech akan mendapatkan kepakaran daripada syarikat pengeluar peluru terkenal dari Switzerland bagi menghasilkan peluru kaliber kecil.


 

Myaltech Sdn. Bhd.

 


Dengan kewujudan kilang peluru paling canggih di negara ini, ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan senjata api import. 

 

Pembangunan kilang berkenaan yang dijangka tahun ini akan membuka sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan mahir kepada penduduk tempatan sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

 

Bagaimanapun, tiada perincian jelas tentang rakan strategik dari Switzerland yang akan terbabit dalam projek ini serta ke mana pengeluaran peluru tersebut dipasarkan.

 

Lima bulan sebelum itu, satu lagi projek membina kilang peluru telah diumumkan iaitu di Kechau Tui Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.


 

parafrasa

 


Kilang peluru ini dibangunkan oleh syarikat tempatan, Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia) melibatkan pajakan tanah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

 

Fasa pertama kilang di kawasan seluas 40.5 hektar yang dijangka siap pada penghujung tahun depan itu bakal mengisi sasaran usaha mewujudkan Bandar Pertahanan (Defence City) di kawasan tersebut.

 

Projek kilang peluru ini melibatkan anggaran pelaburan berjumlah RM120 juta.

 

Apabila beroperasi kelak, ia dijangka menyediakan 300 peluang pekerjaan awal terutama kepada masyarakat tempatan.

 

Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik tetapi kebarangkalian operasi kilang peluru ini melibatkan kerjasama teknologi dari Turkiye.

 

Semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu, Ketech Asia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Ateşçi Medikal Mühendislik Ltd (Atesci) dari Turkiye untuk projek kilang pengeluaran peluru senjata kecil di Malaysia.

 

Atesçi yang menceburi industri ini sejak tahun 2002 merupakan pengeluar jentera dan perkakasan bagi mengilangkan peluru.

 

Dua projek pembinaan kilang peluru ini mengingatkan kita pada projek sama yang diumumkan pada tahun 2019 untuk membina kilang bahan letupan tersebut di Perlis.

 

 

parafrasa

 

 

Syarikat pengeluar peluru terkemuka dunia dari Switzerland, Ruag Ammotec ketika itu mengumumkan akan membuka kilangnya di kawasan perindustrian Pauh Putra.

 

Ruag Ammotec dijangka melabur sebanyak RM500 juta yang mana projek ini  bakal menjadikan Malaysia sebagai penghubung kepada rangkaian pengeluaran dan pemasaran di benua Asia. 

 

Ketika itu pembinaan kilang dijangka dimulakan setahun kemudian dengan menawarkan 200 peluang pekerjaan sebahagian besarnya tenaga mahir.

 

Selain membuka kilang, Ruag Ammotec juga akan memindahkan teknologi tinggi ke Malaysia.

 

Antara yang dirancang ketika itu ialah untuk memasarkan peluru yang dikilangkan di sini ke serata dunia.

 

Bagaimana pun, projek ini tidak diteruskan manakala syarikat induk Ruag pula tidak lagi terbabit dalam industri pertahanan apabila Ammotec diambil alih firma Baretta Holding tahun lalu.

 

Apakah kemungkinan dua projek untuk membina  kilang peluru di Kuala Pilah dan Kuala Lipis ini senasib dengan projek di Perlis, diharapkan ia tidak begitu.

 

Jika diimbas kembali, industri pembuatan peluru di Malaysia bukanlah baharu kerana ia telah bermula pada tahun 1969 apabila kerajaan menubuhkan Syarikat Malaysia Explosive Sdn. Bhd. (SME) di Batu Arang, Selangor.

 

Projek SME adalah usahasama kerajaan-swasta yang mana kerajaan membiayai kira-kira RM2.6 juta daripada kos keseluruhan sebanyak RM5 juta pada masa itu.

 

 

parafrasa

 

 

Bakinya dibiayai syarikat tempatan iaitu syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad dan Lembaga Urusan Tabung Haji bersama-sama dua syarikat asing, Oerlikon Machine Tool Works Buhrle (Switzerland) dan Dynamit Nobel AG (Jerman Barat).

 

Penubuhan kilang ini untuk negara melangkah setapak demi setapak mencapai matlamat berdikari atau self reliance bagi pembekalan bahan-bahan keperluan untuk pertahanan.

 

Objektifnya agar Malaysia tidak bergantung kepada negara-negara luar untuk bekalan peluru bagi kegunaan pasukan keselamatan khususnya pengeluaran peluru kaliber kecil.

 

SME kemudian dikenali sebagai SME Ordnance (SMEO) dan menjadi syarikat subsidiari kepada National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI).

 

Selama bertahun-tahun SMEO menjadi pembekal tunggal peluru dan pelbagai jenis bahan letupan kepada pasukan keselamatan negara selain mengilangkan senjatapi.

 

Bagaimana pun, sejak beberapa tahun lalu Kementerian Pertahanan mendapatkan bekalan peluru dari luar negara menerusi kontrak yang diberi kepada syarikat lain.

 

Misalnya pada Mac tahun lepas, kontrak bernilai RM30.6 juta dianugerahkan kepada syarikat tempatan, Traumland Sdn. Bhd. untuk membekalkan 12.5 juta butir peluru kaliber 5.56mm.

 

Ini merupakan angka besar, tidak termasuk bekalan bagi lain-lain jenis peluru yang berbeza saiz sekali gus mempunyai potensi ekonomi untuk syarikat lain bersaing memenangi kontrak sedemikian. - DagangNews.com