KUALA LUMPUR 12 Mei - Projek perumahan Mah Sing iaitu M Senyum Fasa 1 (Camellia) di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang memiliki 262 unit rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar hampir RM144.48 juta suda habis terjual.
Selepas menerima sambutan yang meggalakkan untuk Fasa 1, Fasa 2 atau Camellia 2 kini dibuka untuk pendaftaran dengan fasa kedua itu memiliki 270 unit rumah teres dua tingkat.
Rumah bagi kedua-dua fasa itu memiliki keluasan antara 1,555 hingga 1,761 kaki persegi dengan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi bermula pada harga RM450,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing untuk segmen hartanah, Benjamin Ong Chin Yee berkata, pelancaran Camellia M Senyum merupakan petanda baik untuk pemulihan model perniagaan pantas kumpulan selepas kejayaan mengambil alih tanah pada tahun lalu.
"Kami percaya permintaan untuk perumahan bertanah di lokasi strategik kekal tinggi dan produk ini adalah bertepatan dengan kehendak pasaran.
"Kami yakin fasa berikutnya akan menerima sambutan menggalakkan didorong ketersambungannya dan kemudahan yang terdapat di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
M Senyum merupakan projek perumahan di atas tanah pajakan di atas tanah berkeluasan 100 ekar bernilai RM656 juta itu memiliki sejumlah 1,176 unit rumah teres dua tingkat.
Sementara itu, Mah Sing merancang untuk melancarkan M Astra di Setapak, M Nova di Kepong, M Panora di Rawang dengan fasa seterusnya di Ferringhi Residences di Pulau Pinang dan rumah bersambung dua tingkat di Meridin East Johor pada separuh tahun 2022.
Kumppulan itu menyasarkan pemilikan untuk M Vertica Menara A dan B di Cheras dalam tempoh dua bulan ini dan untuk Sensory Residence Fasa 1 di Southville City mulai Jun 2022. - DagangNews.com