BERA 22 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera bagi memenuhi keperluan tempat kediaman, untuk mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, projek ini merupakan satu manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang terjalin sejak sekian lama.
Menurutnya, bagi merealisasikan rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara akan membantu daripada segi pemberian subsidi, manakala Kerajaan Negeri Pahang pula akan menyediakan tanah.
"Sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa mendukung dan sama sama memberi kerjasama jitu dalam menjayakan inisiatif inisiatif Kerajaan Persekutuan," kata beliau semasa melancarkan majlis pecah tanah bagi projek PPR Bera di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, Projek PPR Bera ini merupakan projek baharu yang telah diluluskan pelaksanaannya di bawah peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022 dan akan dibina oleh syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd.
"Projek perumahan ini akan dilaksanakan di Bandar 34, Parlimen Bera yang melibatkan pembinaan 1,000 unit rumah teres satu tingkat berserta kemudahan asas di atas tapak tanah milik Kerajaan Negeri seluas 90 ekar.
"Walaupun projek PPR ini adalah khusus untuk golongan berpendapatan rendah, Kerajaan sentiasa menitikberatkan keselesaan Keluarga Malaysia dengan memberikan
penekanan kepada aspek saiz, reka bent uk, kualiti, lokasi dan harga rumah sentiasa diberi penekanan," kata beliau.
Menurutnya, Projek PPR Bera ini berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat dengan setiap unit rumah berkeluasan 750 kaki persegi, dilengkapi tiga buah bilik tidur, dua buah bi lik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan langkan (yard).
Perdana Menteri berkata, Kerajaan juga tidak pernah melupakan kemaslahatan Orang Kurang Upaya dan sehubungan itu, Projek PPR Bera ini juga turut menyediakan 10 unit rumah untuk memenuhi keperluan golongan ini. - DagangNews.com