PROLINTAS lancar sistem pemantauan teknologi pintar S3 | DagangNews Skip to main content

PROLINTAS lancar sistem pemantauan teknologi pintar S3

PROLINTAS Smart Surveillance System (S3)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd (PROLINTAS) melancarkan sistem pemantauan lebih raya baharu yang berteraskan teknologi pintar di semua lebuh raya seliaanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pelancaran teknologi yang dikenali sebagai PROLINTAS Smart Surveillance System (S3) itu telah meletakkan PROLINTAS syarikat konsesi pertama di Malaysia menggunakan teknologi pintar dalam pengurusan operasi lebuh raya.

“PROLINTAS amat berbangga dengan pelaksanaan S3 ini, ianya sejajar dengan usaha berterusan pihak syarikat dalam meningkatkan kadar keselamatan dan tahap kepuasan pengguna lebuh raya.

 

PROLINTAS Smart Surveillance System (S3)

 

"Inisiatif ini telah mengetengahkan cara kerja yang lebih efisyen dan moden dalam penggunaan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

S3 akan digunakan di semua lebih raya seliaan PROLINTAS seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

S3 dibangunkan untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi lebuh raya yang mana merangkumi pemantauan permukaan lebuh raya, pengesanan kerosakan asset lebuh raya, kemalangan, objek asing, kawasan air bertakung dan kehadiran haiwan.

 

PROLINTAS Smart Surveillance System (S3)

 

Sistem tersebut turut dilengkapi dengan kelebihan seperti live video streaming, real–time integrated notification and reporting.

Secara ringkasnya, pengesanan dilakukan menerusi dash board camera dengan prapemprosesan imej oleh komputer bersaiz kecil (raspberry pi) yang dipasang di setiap kenderaan peronda lebuh raya.

Imej tersebut kemudiannya disalurkan secara terus menerusi rangkaian 4G ke pelayan cloud untuk pemprosesan pengecaman dan klasifikasi dan tindakan selanjutnya.

Sejak S3 mula dilancarkan pada 19 Ogos 2020, teknologi itu telah mengesan sejumlah 1,303 kes pada bulan pertama dan 440 pada bulan berikutnya.

 

PROLINTAS Smart Surveillance System (S3)

 

Daripada jumlah ini, lebih 50% daripada kes-kes kerosakan permukaan dan aset lebuh raya telah dibaik pulih menerusi notifikasi real-time S3. 

PROLINTAS juga telah melancarkan sistem aplikasi pengurusan operasi lebuh raya iaitu PROLINTAS Integrated Maintenance Escalations (PRIME) yang dibangunkan menggunakan platform Microsoft Kaizala & Flow.

Ia menjadi kesinambungan kepada inisiatif transformasi pendigitalan PROLINTAS yang mana bukan sahaja memodenkan kerja-kerja pelaporan insiden dan aktiviti
penyelenggaraan, malah meningkatkan kecekapan proses baik-pulih dan pemantauan kemajuan kerja.

Tambah Mohammad Azlan, kesemua teknologi itu dapat membantu operasi lebuh raya seliaan pihaknya agar lebih berdaya saing dan sistematik sekali gus memberikan fokus yang optimum terhadap keselamatan dan kepuasan pengguna lebuh raya. - DagangNews.com