Proses transformasi digital, MIDF Research jangka permintaan produk berkaitan fail keluaran Asia File Corporation kekal lemah | DagangNews Skip to main content

Proses transformasi digital, MIDF Research jangka permintaan produk berkaitan fail keluaran Asia File Corporation kekal lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Dis - MIDF Research menjangkakan permintaan bagi produk berkaitan fail keluaran Asia File Corporation Berhad kekal lemah kesan proses transformasi digital serta kebimbangan pelanggan terhadap kelestarian alam sekitar.

 

Katanya, keadaan itu menjurus kepada pengurangan dalam penggunaan produk pemfailan fizikal tradisional di seluruh dunia.


Keadaan itu membuatkan kumpulan itu menguasai lebih banyak bahagian pasaran di Malaysia kerana pesaingnya yang lebih kecil terpaksa meninggalkan pasaran kerana tidak mampu bersaing.

 

Buat masa sekarnag, Asia File menguasai hampir 70% pasaran bekalan fail di Malaysia.

 

"Ini disebabkan oleh skala ekonomi dan kos unit yang lebih rendah, membolehkan kumpulan itu menawarkan harga yang kompetitif.

 

"Selain itu, kumpulan juga sedang merancang untuk memasuki platform e-dagang di United Kingdom dan Jerman.

 

"Keputusan untuk keluar daripada pasaran tradisional membolehkan organisasi itu menjangkau pelanggan individu secara langsung dan membina jenamanya sendiri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek permintaan jangka pendek dalam produk berkaitan fail dan produk pengguna & barangan makanan kumpulan memandangkan kelembapan global yang berterusan dalam aktiviti perniagaan.

 

Bagaimanapun, mereka optimis mengenai kedudukan tunai bersihnya yang kukuh sebanyak RM294.8 juta setakat 2QFY23, yang boleh memberikan sokongan terhadap risiko penurunan harga.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.85 berbanding RM1.60 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com