Prospek Cahya Mata Sarawak kekal positif walaupun proses timbang tara masih berterusan - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prospek Cahya Mata Sarawak kekal positif walaupun proses timbang tara masih berterusan - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Firma penganalisis positif terhadap prospek Cahya Mata Sarawak Berhad walaupun proses timbang tara utamanya dengan Sesco Berhad (Sesco) masih berterusan.

 

MIDF Research berkata, pihaknya optimis bahawa perkara itu akan diselesaikan dengan baik demi menjaga kepentingan ekonomi Sarawak.

 

"Kompleks fosfat bersepadu kumpulan itu di Samalaju adalah satu-satunya di Malaysia dan rantau ini, tiada pesaing baharu sejak sedekad lalu dalam pasaran yang didominasi oleh pengeluar Vietnam dan Kazakhstan.

 

"Sasaran awal pengurusan untuk pengkomersialan adalah pada pertengahan 2023, walaupun kami tidak menolak kemungkinan kelewatan akibat pertikaian yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini sambil mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.55 sesaham.

 

Terdahulu, proses timbang tara melibatkan kumpuan itu bersama Sesco masih diteruskan dengan Sesco serta Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd telah melantik penimbang tara masing-masing, dan kini sedang menunggu pelantikan penimbang tara ketiga oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

 

BACA JUGA: AIAC tolak permohonan injuksi Cahya Mata Sarawak terhadap Sesco Berhad

 

Pihak pengurusan tertinggi Cahya Mata terus menegaskan tuntutannya dan mengekalkan bahawa perjanjian pembelian kuasa (PPA) kekal berkuat kuasa dan sedang giat meneruskan tuntutannya melalui prosiding timbang tara dan meneroka semua jalan perundangan yang ada untuk melindungi haknya.

 

Cahya Mata Phosphates telah merujuk pertikaian di bawah PPA bertarikh 15 Januari 2019 kepada AIAC di bawah mekanisme penyelesaian pertikaian PPA yang berkaitan dengan pertikaian mengenai jenis tarif.

 

Sebelum ini, Cahya Mata Phosphates telah menandatangani perjanjian pembelian kuasa bertarikh 3 Februari 2016, yang merupakan perjanjian pertama dengan Sesco yang kemudiannya ditamatkan selepas kedua-dua pihak bersetuju mengadakan PPA baharu yang mengawal penjualan serta pembelian tenaga elektrik untuk kemudahan pengeluaran fosfat Cahya Mata di Sarawak.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pengurusan kumpulan mengesahkan elektrik masih dibekalkan ke kompleks fosfat itu walaupun proses timbang tara sedang ber;angsung.

 

Firma itu berkata, walaupun risiko pemotongan bekalan elektrik kekal, mereka berpendapat bahawa pengertian komersil di kalangan pihak yang bertikai akan mengatasi saiz dan faedah ekonomi projek fosfat ini.

 

"Liabiliti luar jangka adalah RM266 juta, jika ia menjadi jelas semasa atau selepas prosiding timbang tara, maka ia akan memberi kesan kepada Cahya mata Sarawak," katanya.

 

Cahya Mata Sarawak berkata, Cahya Mata Phosphates Industries telah menerima notis ingkar daripada Sescon pada 11 Mei 2023 memaklumkan bahawa PPA sudah ditamatkan berkuat kuasa 13 Mei lalu, yang membawa kepada pemotongan bekalan elektrik ke kompleks fosfat di Samalaju mulai hari yang sama.

 

Dua hari kemudian, pada 13 Mei, Sesco memaklumkan Cahya Mata Phosphates Industries untuk mengesahkan penamatan PPA mulai 13 Mei, tetapi berkata ia tidak akan meneruskan pemotongan bekalan elektrik.

 

Cahya Mata Sarawak mempertikaikan dakwaan penamatan PPA dan mengekalkan bahawa PPA itu masih sah. - DagangNews.com