Prospek Chin Well lebih meyakinkan disokong pemulihan permintaan dari Eropah – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek Chin Well lebih meyakinkan disokong pemulihan permintaan dari Eropah – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - TA Securities lebih yakin terhadap prospek Chin Well Holdings Bhd, disokong oleh permintaan pasaran Eropah secara beransur-ansur pulih yang menyebabkan kumpulan itu mula menerima lebih banyak tempahan baharu.

 

Walaupun saiz tempahan baharu daripada Eropah masih agak kecil, firma penyelidikan itu berkata ia percaya hal tersebut merupakan petanda baik memandangkan situasi terburuk boleh berakhir.

 

Menurut firma itu, Chin Well terjejas secara negatif oleh kelembapan pasaran Eropah kerana aktiviti ekonomi tempatan terjejas teruk oleh kos tenaga yang tinggi.

 

Sementara itu, pengurusan menjangkakan purata harga jualan produk pengikat keluli masih kekal rendah, disebabkan harga lemah keluli berterusan akibat krisis hartanah yang berterusan di China.

 

“Kumpulan itu mengambil peluang ini untuk membeli lebih banyak bahan mentah dan membina inventori, bersedia untuk peningkatan pasaran berikutnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Meskipun pasaran Eropah perlahan, TA Securites berkata tempahan jualan dari pasaran Amerika Syarikat (AS) kekal sihat untuk Chin Well disebabkan oleh perbelanjaan infrastruktur tempatan serta lencongan perdagangan.

 

Manakala tempoh peralihan untuk Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) akhirnya bermula pada 1 Oktober 2023 dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari 2026.

 

“Pengurusan percaya bahawa ia boleh menjadi pengubah permainan untuk industri memandangkan pemain keluli yang lebih kecil mungkin akan diberhentikan secara berperingkat kerana keperluan ketat dan kos pematuhan tinggi,” tambahnya.

 

TA Securities berkata hasilnya, industri pengikat mungkin menyaksikan persaingan yang lebih rendah dalam jangka masa panjang.

 

Sementara itu, kumpulan terbabit bercadang untuk memperuntukkan maksimum RM10 juta untuk perbelanjaan modal dalam tempoh tiga tahun akan datang, terutamanya untuk menaik taraf loji dan latihan pengurangan karbon

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) dan menaik taraf saranan kepada ‘beli’ daripada ‘beli’ berikutan kelemahan harga saham baru-baru ini, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.41 sesaham.

 

Pada pukul 11:29 pagi ini, saham Chin Well kekal pada RM1.27 dengan permodalan pasarannya bernilai RM380 juta.  - DagangNews.com