Prospek dividen Gamuda suram - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Prospek dividen Gamuda suram - Maybank IB

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh secara berterusan dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan di tapak binaan, dilihat akan menjejaskan operasi Gamuda Bhd. 

 

Malah, Maybank Investment Bank (IB) Research menjangkakan prestasi kewangan syarikat yang lemah pada suku keempat akan datang.

 

Katanya, ini memandangkan semua kerja berkaitan di projek hartanahnya telah terhenti sejak 1 Jun lalu akibat PKP penuh, yang turut memberi kesan kepada aliran trafik bagi lebuh raya bertol.

 

"Kami melihat prospek yang suram buat Gamuda untuk mengisytiharkan dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2021.

 

"Setelah menangguhkan dividen interim pertama dan kedua bagi tahun kewangan 2021, prospek seterusnya juga masih kekal suram, dan kami kini menjangkan sifar dividen sesaham bagi tahun kewangan ini (berbanding lapan sen sebelum ini)," katanya dalam nota kajian.

 

Di sebalik prestasi kewangan suku ketiga berakhir 30 April 2021 yang menyaksikan untung bersih Gamuda kembali kepada tahap sebelum PKP, firma itu bagaimanapun menyemak turun unjuran pendapatan syarikat.

 

"Bagi tahun kewangan 2021, untung bersih syarikat dikurangkan 12 peratus manakala bagi tahun kewangan 2022 dan 2023, juga sedikit berubah," tambahnya.

 

Jelasnya, anggaran itu dibuat berdasarkan kepada pembayaran yang lebih perlahan bagi projek syarikat di Malaysia pada suku keempat dan pemulihan yang lambat bagi projek lebuh raya bertol. 

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' ke atas Gamuda tetapi harga sasaran disemak turun kepada RM4.05 sesaham. - DagangNews.com