KUALA LUMPUR 16 Julai - Prospek DXN Holdings Bhd diunjur positif, didorong jangkaan peningkatan rangkaian keahlian serta pelancaran produk baharu selain pengembangan ke pasaran baharu.
CGS International berkata, pada penutup tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 (FY24), syarikat makanan tambahan kesihatan itu mempunyai 5.4 juta ahli aktif di kira-kira 180 negara.
Katanya, hasil kumpulan diunjur boleh mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 12% antara FY24 dan FY27.
"Kami positif terhadap trajektori pertumbuhan hasil kumpulan berikutan peningkatan dalam bilangan keahlian, pelancaran produk dan pengembangan pasaran baharu," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyemak turun anggaran pendapatan sebelum faedah dan margin cukai kumpulan kepada sekitar 27% untuk FY25-FY27, memandangkan kos bahan mentah yang lebih tinggi dan peningkatan dalam campuran jualan makanan serta minuman.
CGS International meletakkan harga sasaran (TP) sebanyak 85 sen untuk kumpulan itu berdasar penilaian sebanyak 10.2 kali anggaran pendapatan harga bagi 2024 yang mewakili diskaun 25% kepada syarikat-syarikat setara.
“Kami menjangkakan penilaian itu adalah wajar, memandangkan pendedahan pasaran sempadan yang lebih tinggi yang secara amnya membawa premium risiko negara yang lebih tinggi, sambil menawarkan hasil dividen FY25-FY27 yang menarik sebanyak 7% hingga 10%.
“Kami menjangkakan DXN mencatatkan CAGR ahli aktif tiga tahun sebanyak 8.9% antara FY24 dan FY27, didorong oleh kedua-dua pertumbuhan organik daripada pasaran sedia ada serta pengembangan ke pasaran pertumbuhan tinggi baharu, bermula dengan Brazil pada Mac 2024, diikuti oleh Argentina, Algeria dan Ghana dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pelancaran produk baharu juga akan meningkatkan pendapatan kumpulan.
“Kami percaya satu lagi pemacu pertumbuhan pendapatan DXN akan datang daripada segmen makanan dan minuman yang mengalami CAGR tiga tahun sebanyak 21.8% antara FY20 dan FY24.
"Ini datang dengan lebih banyak pelancaran produk dalam perancangan yang merangkumi lebih banyak varian produk untuk rangkaian produk sedia ada, serta tawaran baharu seperti produk sedia untuk dimakan," katanya.
CGS International mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP 85 sen sesaham.- DagangNews.com