Prospek Eco World dijangka positif, manfaatkan kehadiran Microsoft - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prospek Eco World dijangka positif, manfaatkan kehadiran Microsoft - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Prospek Eco World Development Group Bhd dijangka positif dengan kumpulan itu akan memanfaatkan kehadiran Microsoft, kata Kenanga Research. 

 

Katanya, kumpulan itu berharap dapat membawa produk industrinya ke tahap lebih baik dengan menjenamakan semula sebahagiannya kepada Quantum bermula dengan produk di  Eco Business Park VI di Kulai, Iskandar Malaysia dengan Microsoft merupakan pembeli utama.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Eco World akan terus menawarkan kilang berkembar, berkembar dan berkelompok dengan reka bentuk empat dalam satu yang boleh berfungsi sebagai bilik pameran, pejabat, gudang dan kemudahan pengeluaran.

 

Produk perindustrian di bawah jenama Eco Business Park ialah segmen pertumbuhan tinggi dalam Eco World dengan jualan pada kadar pertumbuhan tahunan tekompaun (CAGR) sebanyak 68% antara FY20 dan FY23. Pelbagai fasa Eco Business Park kini menempatkan lebih 1,400 perusahaan kecil an sederhana (PKS).

 

"Kami positif terhadap inisiatif terbaharu Eco World, yang kami percaya ia berpotensi mempercepatkan pembangunan Eco Business Park VI di Kulai, Iskandar Malaysia, serta menjana jualan yang lebih tinggi.

 

"Walaupun kami percaya pusat data Microsoft tidak datang dengan rantaian bekalan bernilai tinggi, namun kehadirannya sahaja akan menambah prestij kepada Eco Business Park VI," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu melancarkan Quantum yang akan menjadi tonggak pendapatan kelima kumpulan dengan tawaran taman perniagaan yang direka bagi memenuhi keperluan khusus untuk pusat data serta usaha niaga digital dan berteknologi tinggi.

 

Menerusi pelancaran itu, Eco Business Park VI di Kulai akan dijenamakan semula sebagai Quantum Edge, mewakili taman perniagaan pertama kumpulan di bawah tonggak baharu itu.

 

Dengan keluasan keseluruhan 163.4 hektar, ia akan menjadi antara hab digital dan teknologi tinggi terbesar oleh pemaju swasta di Malaysia dengan Microsoft menjadi pelanggan pertamanya.

 

Kenanga Research mengekalkan ramalan pendapatannya kerana mereka tidak menjangkakan kesan pendapatan yang bermakna daripada inisiatif terbaharu syarikat itu semasa tempoh ramalannya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran RM1.41 sesaham," katanya. - DagangNews.com