Prospek Edelteq diunjur positif didorong peningkatan margin keuntungan dalam segmen kejuruteraan - Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

Prospek Edelteq diunjur positif didorong peningkatan margin keuntungan dalam segmen kejuruteraan - Rakuten Trade

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Rakuten Trade mengunjurkan prospek Edelteq Holdings Berhad kukuh didorong peningkatan margin keuntungan kumpulan daripada perkembangan segmen perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal.

 

Firma itu berkata, portfolio pelanggan yang menarik merangkumi pelanggan multinasional dengan kadar pertumbuhan tinggi dan perkembangan kapasiti eksponen.

 

Kumpulan itu mempunyai pelanggan yang pelbagai yang terdiri daripada pengeluar peranti bersepadu multinasional (IDM) dan OSAT, di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah didorong oleh hubungan perniagaannya dengan Infineon Technologies (M) SB.

 

"Infineon merupakan pelanggan terbesar Edelteq, menyumbang RM9 juta atau 37% daripada hasil syarikat pada FY22.

 

"Kumpulan itu boleh memanfaatkan perkaitannya dengan pelanggan terkenal untuk meningkatkan pendedahan pasarannya bagi menarik pelanggan baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berhasrat untuk mengembangkan penawaran ATE (peralatan ujian automatik) melalui aktiviti R&D.

 

Katanya, pembangunan produk baharu mesin AOI (pemeriksaan optik automatik) tahap jalur dan wafer akan meningkatkan hasil kumpulan.

 

"Permintaan untuk produk ini adalah kukuh memandangkan peranan kritikal pemeriksaan dalam mengurangkan kos," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 36 sen sesaham. - DagangNews.com