Prospek ekonomi dijangka terus pulih - MIDF | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi dijangka terus pulih - MIDF

Prospek ekonomi dijangka terus pulih

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Prospek ekonomi negara dijangka terus pulih seiring dengan trend peningkatan dalam Indeks Pelopor (IP).

 

MIDF Research berkata, IP yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan bahawa prospek ekonomi negara jangka pendek tetap optimis.

 

"Pelancaran pakej rangsangan ekonomi yang berterusan termasuk Pemerkasa dan Permai, di samping persekitaran kadar faedah yang rendah akan terus membantu pemulihan ekonomi.

 

"Bagaimanapun, kadar vaksinasi yang perlahan dan potensi gelombang jangkitan baharu menjadi risiko kepada penurunan," jelas MIDF Research.

 

Minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Februari 2021.

 

Laporan berkenaan menyaksikan IP Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2021 berbanding tahun sebelumnya.

 

IP meningkat 8.5% kepada 111.2 mata pada bulan rujukan daripada 102.5 mata pada Februari 2020.

 

Prestasi memberangsangkan itu didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang mencerminkan pertumbuhan Indeks Penjagaan Kesihatan, Indeks Pengangkutan & Logistik dan Indeks Utiliti.

 

Prestasi berkenaan memberi isyarat bahawa Malaysia menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Mengikut perbandingan bulanan, IP mencatatkan trend yang sama dengan peningkatan 1.1% berbanding bulan sebelumnya iaitu 0.7% pada Januari.

 

Ia disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.6%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.6%). - DagangNews.com