KUALA LUMPUR 12 Jan - Prospek Farm Fresh Bhd. kekal positif memandangkan perbelanjaan operasinya terkawal dengan kekangan pengeluaran semakin berkurangan, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB).
Malah, syarikat tenusu bersepadu itu dijangka merekodkan pertumbuhan mulai separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dan seterusnya.
Menurutnya, Farm Fresh baru-baru ini menerima peralatan baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran yang dipasang di kilangnya di Muadzam Shah, Pahang.
Pada masa sama, kilang pemprosesannya di Taiping, Perak juga dijangka mula beroperasi pada awal Feb 2023 dengan jumlah kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 21 juta liter susu.
"Dengan kapasiti baharu ini, Farm Fresh bukan sahaja dapat menampung permintaan yang semakin meningkat untuk produk sedia ada dan baharu, ia juga mempunyai keupayaan untuk menyertai lebih banyak tender di bawah program susu sekolah kerajaan apabila kontrak semasanya berakhir pada Februari 2023.
"Ketika ini, kumpulan membekalkan susu ke sekolah-sekolah di wilayah utara, timur dan selatan Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Farm Fresh juga sedang mengembangkan kehadirannya dalam saluran HORECA (hotel, restoran dan kafeteria).
Selain kontrak bekalan susu sedia ada dengan rangkaian Starbucks dan Coffee Bean di negara ini, kumpulan akan mula membekalkan produk susunya kepada hotel (iaitu Shangri-La) menjelang akhir bulan ini.
Maybank IB berkata, kumpulan pada masa sama sedang mendapatkan kontrak untuk membekalkan susu kepada rangkaian makanan dan minuman (F&B) yang besar pada suku keempat FY23.
Menurutnya, margin operasi Farm Fresh pada separuh kedua FY23 dijangka meningkat berikutan harga jualan purata serbuk susu keseluruhan yang lebih lemah kira-kira 8% suku ke suku, dan kesan penuh kenaikan harga produk sejuknya (kenaikan 5%, berkuat kuasa Ogos 2022).
"Dalam jangka sederhana, pemacu kukuh pendapatan didorong pertumbuhan kapasiti daripada kilang pemprosesannya di Filipina yang dijangka siap akhir Mei 2023 dan kilang pembuatan di Bandar Enstek menjelang separuh pertama FY25," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Farm Fresh dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.75 sesaham.
Setakat 11.51 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.23% kepada RM1.60 dengan 593,800 saham diniagakan. - DagangNews.com