Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 20 Mei - Harga minyak sawit mentah (MSM) yang terus menunjukkan momentum pemulihan kukuh dijangka menyumbang kepada prestasi perniagaan perladangan huluan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dengan lebih baik.
Sebagai rekod, keuntungan segmen perladangan KLK bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) meningkat dengan ketara, lonjakan 86.9% kepada RM566.9 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dipacu oleh harga MSM dan isirong sawit yang tinggi.
Namun, MIDF Research tidak menolak kemungkinan lonjakan kes COVID-19 dan harga isirong sawit yang lebih tinggi akan menjejaskan segmen pembuatan kumpulan.
Ini bermakna, prospek buat KLK kekal mencabar, menurut MIDF.
“Kekal ‘beli’ (saham KLK) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM27.01.
“Risiko penurunan kepada saranan kami termasuk harga MSM yang menjunam, permintaan lebih lemah daripada jangkaan dan pelaksanaan undang-undang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat.
“TP kami sebanyak RM27.01 diterjemahkan kepada unjuran jumlah pulangan sebanyak 24.70%,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
Semalam, KLK mencatatkan pendapatan berjumlah RM8.8 bilion, lonjakan 11.8% pada 1HFY21 berbanding tempoh sama pada tahun lalu dipacu oleh segmen perladangannya.
KLK mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham sejajar unjuran oleh MIDF.
CGS-CIMB Research pula menyemak naik saranan ke atas saham KLK daripada ‘pegang’ kepada ‘tambah’ dengan TP ditingkatkan kepada RM25.25.
“Kami meningkatkan unjuran keuntungan bersih utama bagi FY21 hingga FY23 sebanyak 15% hingga 25% untuk menggambarkan ramalan harga MSM yang lebih baik.
“Perkara menarik lain mengenai KLK adalah perolehannya yang agak bertahan daripada isu peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.
“Risiko penurunan utama adalah harga MSM yang lebih rendah,” tambah firma penyelidikan itu.
Setakat 11.52 pagi, harga saham KLK meningkat 46 sen kepada RM22.48. - DagangNews.com