Prospek industri aluminium suram, taraf saranan Press Metal diturunkan kepada ‘neutral’ – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek industri aluminium suram, taraf saranan Press Metal diturunkan kepada ‘neutral’ – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan Press Metal Aluminium Holdings Berhad untuk tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) antara 5%  dan 11% memandangkan prospek industri aluminium suram.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain sentimen industri yang suam-suam kuku, potensi peningkatan penilaian semasa pengeluar produk aluminium tersebut terhad, justeru taraf saranannya diturunkan kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM4.95 sesaham berbanding RM5.54 sebelumnya.

 

Menurut firma itu, pendapatan teras Press Metal pada FY23 susut 15.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.2 bilion, seiring dengan harga jualan logam yang lemah dan premium serantau.

 

Jumlah tersebut sedikit meleset daripada anggaran tahun penuh RHB Investment dan konsensus, masing-masing pada 92% dan 95%.

 

RHB Investment berkata, keyakinannya terhadap prospek sektor aluminium menyederhana berikutan jangkaan lebihan pengeluaran pada FY24. 

 

“Walaupun paras harga London Metal Exchange (LME) dan inventori yang rendah dari segi sejarah, permintaan aluminium global kekal lemah, menghalang kebangkitan semula purata harga jualan (ASP). Permintaan di Eropah terus lemah, dengan prestasi bercampur-baur dalam kalangan subsektor di China,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dari segi bahan mentah, firma penyelidikan itu mendedahkan bahawa harga anod karbon (kira-kira 23% daripada kos peleburan Press Metal) terus menurun, kerana ia mendapati harga sedemikian jatuh di bawah paras 4,000 yuan sejak Januari. 

 

“Sebaliknya, harga alumina (kira-kira 30% daripada kos peleburan Press Metal) telah menyaksikan peningkatan 10% bulan ke bulan, mencecah AS$367 setiap tan pada akhir Januari, berikutan kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan selepas letupan depot bahan api di Guinea, yang menjejas bekalan bauksit,”tambahnya.

 

RHB Investment menganggarkan ASP aluminium lebih rendah pada FY24-26 sekitar AS$2,200 hingga RM2,250 manakala kos peleburan naik antara AS$352 dan AS$360 setiap tan.


Bagi anod karbon pula, firma itu menjangkakan kos meningkat antara 3,690 yuan sehingga 4,089 yuan setiap tan.

 

Pada rehat tengah hari, saham Press Metal ditutup tinggi 2 sen atau 0.4% kepada RM4.67 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM38.5 bilion. - DagangNews.com