KUALA LUMPUR 17 Julai - Prospek IOI Corp Bhd pada FY25 diunjur positif disokong hasil lebih baik daripada aktiviti hiliran berdasarkan kepada pemulihan permintaan global, kata RHB Investment.
Katanya, operasi hiliran mula menunjukkan peningkatan margin dari suku tahun ke suku tahun didorong prestasi positif segmen penapisan dan oleokimia pada 3QFY24.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar penggunaan untuk kemudahan penapisannya bagaimanapun, masih rendah iaitu sekitar 50%, manakala kadar penggunaan oleokimia adalah sekitar 60% dalam 9MFY24.
Katanya, kumpulan itu menjangkakan subsegmen penapisan akan terus berdepan saingan sengit dari Indonesia, subsegmen oleokimia semakin bertambah baik apabila permintaan meningkat, hasil daripada aktiviti penyimpanan semula.
"Oleh itu, pihak pengurusan menjangkakan margin meningkat antara 3% hingga 5% pada 4QFY24 daripada 2% hingga 3% dalam 3QFY24.
"Kami tidak membuat perubahan pada andaian margin kami yang lebih konservatif sebanyak 1% untuk FY24 dan 2% hingga 3% bagi FY25-FY26," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
RHB Investment berkata, kos penghasilan minyak sawit mentah (MSM) kumpulan itu pada 9MFY24 adalah RM2,250 bagi setiap tan dan syarikat menjangkakan kos FY24 berlegar di sekitar tahap yang sama, diterjemahkan kepada pengurangan 4% dari tahun ke tahun.
Katanya, kumpulan itu telah memperoleh keperluan bajanya sehingga 1HFY25, pada harga yang lebih rendah dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penggunaan bagi FY24.
"Pihak pengurusan juga menjangkakan kos unit MSM mendatar untuk FY25F. Kami menyemak naik ramalan kos bagi mencerminkan keadaan itu," katanya.
Firma penyelidikan itu menyemak turun ramalan pendapatan kumpulan antara 3% hingga 4% untuk FY25-FY26 selepas kenaikan kos.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM4.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com