Prospek jualan baharu Glomac pada FY25 dijangka stabil disokong pelancaran projek dengan GDV RM425 juta | DagangNews Skip to main content

Prospek jualan baharu Glomac pada FY25 dijangka stabil disokong pelancaran projek dengan GDV RM425 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Prospek jualan baharu Glomac Bhd pada FY25 dijangka stabil dan lebih baik didorong pelancaran projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM425 juta.

 

MIDF Research berkata, momentum jualan baharu akan dikekalkan menerusi pelancaran hartanah di Puchong, Saujana Utama dan Saujana KLIA.

 

"Pembangunan masa depan di Lakeside Residences dan Saujana KLIA akan terus menyokong jualan baharu memandangkan permintaan untuk kediaman bertanah kekal kukuh.

 

"Kumpulan itu merekodkan jualan hartanah sebanyak RM218 juta pada 4QFY24, yang menjadikan jumlah jualan baharu kepada RM360 juta pada FY24.

 

"Hampir 70% daripada jumlah jualan baharu pada FY24 disumbangkan oleh kediaman bertanah di Lakeside Residences dan Saujana KLIA," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan menjangkakan, jumlah pengambilan yang rendah untuk Loop City Residences akibat lebihan bekalan bagi projek kondominium bertingkat di Puchong.

 

Katanya, projek bertingkat tinggi di kawasan sekitar termasuk The Wyn Residences by Land & General dengan 1,546 unit apartment servis, Danau Puchong oleh YTL Land and Development Bhd terdiri daripada dua blok menara kediaman 32 tingkat, dan 2Rio Residence oleh IOI Properties Group yang menawarkan 632 unit pangsapuri perkhidmatan.

 

"Secara keseluruhannya, kami berpendapat bahawa sumbangan daripada Loop City Residences akan bermula mulai FY26 dan seterusnya. 

 

"Glomac berkemungkinan melancarkan dan memulakan pembinaan Loop City Residences secara rasmi apabila kadar pengambilannya melebihi 50%," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral dengan harga sasaran (TP) 43 sen sesaham. - DagangNews.com