Prospek jualan kenderaan 2024 mungkin malap, AmInvestment kekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif | DagangNews Skip to main content

Prospek jualan kenderaan 2024 mungkin malap, AmInvestment kekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  22 Feb - AmInvestment Bank Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif terutamanya kerana pelancaran model baharu lebih rendah tahun ini, dengan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) diunjur sebanyak 670,000 unit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia berpandangan konservatif memandangkan jualan kereta kembali normal selepas tamat tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan jangkaan pelaksanaan subsidi bersasar.

 

Jelasnya, dua faktor tersebut dijangka memberi kesan buruk kepada pendapatan boleh guna pengguna dan membawa kepada pengurangan permintaan kereta.

 

Ini ditambah dengan ketiadaan pelancaran model baharu pada 2024 yang mungkin memalapkan prospek positif jualan kenderaan tahun ini. 

 

“Kami menjangkakan bahawa TIV 2024 mungkin tidak mencapai rekod tahun sebelumnya. Sektor ini dijangka mengalami kelembapan berikutan kurang pelancaran model baharu tahun ini,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

Menurut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada Januari merosot bulan ke bulan sebanyak 16.5% kepada 65,499 unit kerana syarikat automotif mempercepatkan penghantaran untuk memenuhi tempahan pada Disember. 

 

Penurunan sedikit TIV itu diheret oleh kelemahan jualan kenderaan komersial, yang merosot 18.5% kepada 6,105 unit, manakala segmen kenderaan penumpang turun 16.2% kepada 59,394 unit. 

 

Selain itu, kenderaan jenama tempatan mencatatkan prestasi bercampur-baur, yang mana Proton meningkat 5.6% manakala Perodua berkurang 4.9%. 

 

Namun begitu, pada asas tahun ke tahun, TIV Januari mencatatkan lonjakan 30.5% berbanding 50,168 unit yang dicatatkan pada Januari 2022. 

 

Peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan merentasi kebanyakan model, terutamanya untuk Honda (103%) dan Perodua (38.4%). 

 

“Memandangkan prestasi TIV Januari 2024 rendah sedikit untuk menyamai jualan November 2023, kami masih percaya bahawa unjuran TIV 2024 sebanyak 670,000 boleh dicapai,” kata AmInvestment.


 
Bermaz Auto Bhd, yang merupakan pengedar kereta jenama Mazda, Peugeot dan Kia, kekal menjadi pilihan utama firma penyelidikan itu bagi sektor automotif memandangkan pelancaran model menarik dan model pemasangan tempatan (CKD) ditambah dengan hasil dividen yang menarik pada 7%.

 

Ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Bermaz Auto dengan nilai saksama (FV) RM3.42 sesaham. - DagangNews.com