KUALA LUMPUR 4 Mac - Malaysia perlu menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini sekiranya krisis Rusia-Ukraine semakin kritikal hingga mencetuskan perang nuklear, demikian menurut AmInvestment Bank Research.
Sebelum ini, kerajaan mengunjurkan ekonomi 2022 akan berkembang antara 5.5 hingga 6% disokong prestasi eksport yang kukuh, harga komoditi, pelaburan langsung asing (FDI), kadar vaksinasi tinggi dan aktiviti domestik yang memperoleh manfaat daripada langkah rangsangan fiskal bernilai RM530 bilion dan Bajet 2022.
Namun, menurut firma itu, prospek 2022 kini dilihat berdepan risiko berikutan pencerobohan Rusia, sama ada ia akan berakhir dengan perang nuklear ke atas Ukraine ataupun sebaliknya.
Jika Rusia menyerang Ukraine dengan senjata nuklear, kemungkinan besar negara NATO akan bertindak balas atas alasan senjata nuklear itu merentasi sempadan dan menjejaskan negara sekitar Ukraine.
Oleh itu, katanya, semakan menurun kepada prospek KDNK 2022 banyak bergantung pada hasil konflik tersebut yang didorong oleh harga minyak dan tenaga yang tinggi, kenaikan inflasi, kejatuhan keyakinan dan gangguan rantaian bekalan.
Semakan menurun
Secara dasarnya, konflik berterusan ini dijangka mengurangkan prospek KDNK global antara 10 hingga 20% daripada kesan langsung dan tidak langsung.
Berdasarkan kepada perkembangan dalam konflik Ukraine, trend semasa menunjukkan lebih banyak semakan menurun kepada KDNK domestik.
"Senario 'tanpa perang nuklear' dengan konflik berakhir dengan cepat (kurang daripada sebulan), sepatutnya mengekalkan momentum ekonomi, justeru, unjuran awal kami pada 5.6% sepatutnya kekal.
"Cabaran sebenar ialah jika konflik ini berpanjangan. Ekonomi akan terjejas sama ada secara langsung dan tidak langsung.
"Dengan mengambil kira semua faktor ini, sasaran pertumbuhan sepatutnya adalah sekitar 4.5 hingga 5%," jelasnya dalam laporan tematik hari ini.
Rusia melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine sejak 24 Februari lalu dengan menyasarkan bandar-bandar utama dan setakat semalam menyaksikan lebih 2,000 orang awam terbunuh.
Menurut AmInvestment, semakan menurun yang lebih besar terhadap pertumbuhan KDNK adalah perlu sekiranya konflik tersebut mencetuskan perang nuklear.
Ini kerana katanya, sekiranya berlaku, terdapat semakin banyak risiko ketegangan geopolitik termasuk Asia.
"Tragedi ini akan membawa kemusnahan yang lebih teruk dan kemungkinan kemerosotan global. Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terlepas daripada berdepan pertumbuhan negatif," katanya.
Tekanan inflasi
Krisis yang berterusan di Ukraine telah menjejaskan pasaran komoditi dan mengancam keselamatan makanan global, termasuk Malaysia, menurut firma tersebut.
Harga minyak yang tinggi akan meningkatkan hasil Bajet 2022 daripada RM234 bilion berdasarkan kepada harga minyak mentah Brent pada AS$67 setong kepada antara RM236.4 hingga RM243.9 bilion dengan harga Brent antara AS$75 hingga AS$100 setong.
Ini akan diterjemahkan kepada lonjakan daripada unjuran hasil Bajet 2022 antara 1% dan 4.2%. Malaysia turut mendapat manfaat daripada harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.
Tetapi peningkatan hasil yang tinggi itu akan disertai dengan kos yang lebih tinggi. Kenaikan harga minyak dan komoditi akan menambah tekanan terhadap inflasi, terutamanya tolakan kos.
"Kita sudah pun berdepan tekanan inflasi sebahagiannya disebabkan faktor domestik seperti kekurangan tenaga buruh, gangguan rantaian bekalan tempatan akibat banjir pada akhir 2021 dan wabak COVID-19 serta kawalan permit import yang diluluskan untuk barangan makanan tertentu.
"Beserta tekanan inflasi ini ialah kenaikan kos sara hidup, yang sudah meningkat disebabkan pandemik. Kini, ia ditambah pula dengan krisis Rusia-Ukraine, akan terus meningkatkan lagi kos ini dan semakin buruk sekiranya ia berlanjutan kepada perang nuklear," jelasnya.
Dalam hal ini, AmInvestment berkata, adalah sukar bagi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menangani kenaikan inflasi, yang mana dasar fiskalnya akhirnya terpaksa menanggung sebahagian besar beban tersebut.
"Ia perlu melindungi mereka yang paling terdedah daripada kesan harga yang lebih tinggi. Subsidi berkemungkinan meningkat, mengambil hasil tambahan yang dinikmati daripada minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah," tambahnya.
Firma itu juga berkata, perbelanjaan kerajaan perlu memastikan ia dikongsi dalam kalangan seluruh masyarakat dan bukannya membiarkan hanya segmen tertentu berdepan kos sara hidup lebih tinggi daripada kesan kenaikan harga makanan dan bahan api.
"Berikutan pencerobohan ini, perubahan dalam komposisi perbelanjaan kerajaan mungkin akan berlaku dengan penekanan yang lebih besar kepada pertahanan apabila 'dividen keamanan' pasca perang dingin berakhir," jelas firma tersebut. - DagangNews.com