Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Nov - Prospek ATA IMS Bhd. dilihat 'rapuh' meskipun kumpulan mengambil beberapa langkah untuk menangani isu amalan buruhnya bagi membersihkan imejnya di mata pelabur.
Ini kerana menurut AmInvestment Bank Research, sebarang kemajuan yang konkrit daripada cadangan penyelesaian yang dilaksanakannya hanya dapat dilihat dalam tempoh 6 hingga 9 bulan.
Tambahan pula, tiada jaminan ia akan memberi hasil yang positif, tegas firma tersebut dalam nota kajian hari ini.
"Kami berpendapat, risiko operasi syarikat dalam tempoh terdekat masih kekal tinggi.
"Ini sebahagian besarnya disebabkan krisis kekurangan tenaga buruh, dakwaan buruh paksa, potensi aset tidak terjual, skala tidak ekonomik dan reputasi terjejas, yang meningkatkan cabaran untuk mendapatkan pelanggan dan pesanan baharu," jelasnya.
Baca : ATA IMS ambil tindakan segera tangani isu amalan buruh, harga sahamnya terus menjunam hampir 37%
Pada 25 November lalu, ATA IMS mengesahkan ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) telah menerima notis penamatan kontrak daripada Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing) pada 24 November 2021, jam 5.30 petang.
Notis penamatan kontrak itu membabitkan Perjanjian Pengilangan Kontrak bertarikh 15 Oktober 2020 antara Dyson Operations dan ATAIM; perjanjian bagi Bekalan Barangan dan Perkhidmatan bertarikh 1 Mac 2013 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM dan Perjanjian Rangka Kerja bagi Bekalan Barangan (Perkakasan) bertarikh 17 Jun 2009 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, ATA IMS menjangkakan penurunan lagi 40% untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023, berikutan penamatan kontraknya dengan Dyson, pelanggan terbesarnya, yang menyumbang kira-kira 80% daripada pendapatannya.
Bagi tahun kewangan 2022 (FY22), syarikat pembekal ini menjangkakan pendapatan akan merosot sebanyak 30% disebabkan impak perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kekurangan tenaga buruh.
Ia juga menegaskan sedang mengkaji bidang lain yang boleh mencetuskan kebimbangan, tetapi kumpulan tidak menjangkakan sebarang kerugian daripada penamatan tersebut buat masa ini.
Hasil daripada taklimat dengan penganalisis semalam, AmInvestment berkata, syarikat tersebut kini melantik penasihat profesional untuk menyemak semula hasil penemuan tersebut.
ATA IMS juga berdaftar dengan Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA) bagi audit Program Pengesahan Penilaian (VAP) melalui platform pendaftaran dalam talian dan ia dijangka mengemukakan semua keperluan menjelang Disember 2021 dan bagi audit VAP dijalankan pada suku pertama 2022.
"Syarikat juga kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan untuk menambah lagi 5,000 pekerja pada Mac 2022, di samping mengunjurkan pendapatan tahunan sekitar RM1.9 hingga RM2.1 bilion selepas penamatan kontrak itu dengan pelanggan utama berkuat kuasa 1 Jun 2022," jelasnya.
Menurutnya lagi, di sebalik keyakinan ATA IMS akan kembali mencatat keuntungan meskipun kontraknya ditamatkan, tetapi, ia berpendapat tidak mungkin berlaku setelah mengambil kira penurunan hasil yang mendadak yang menjadi pemangkin kepada skala ekonomi.
"ATA IMS mungkin tidak berada dalam kedudukan terbaik untuk berunding dengan bakal pelanggan baharunya, justeru, kami percaya pemulihan syarikat daripada krisis ini dilihat tidak menentu, diburukkan lagi dengan masalah kekurangan tenaga buruh," katanya.
Sehubungan itu, AmInvestment mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham ATA IMS dengan nilai wajar (FV) disemak lebih rendah kepada 30 sen berbanding 56 sen sebelum ini.
Penilaian ini juga menerminkan penarafan 2 bintang terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap amalan buruh kumpulan.
Setakat 11.07 pagi ini, harga sahamnya susut 6 sen atau 11.54% kepada 46 sen dengan 618.26 juta saham diniagakan. - DagangNews.com