Prospek MRCB diramal positif disokong prestasi kewangan, bidaan tender kukuh | DagangNews Skip to main content

Prospek MRCB diramal positif disokong prestasi kewangan, bidaan tender kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - Prospek Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) diramal positif disokong prestasi kewangan 2QFY24 yang baik serta bidaan tender yang kukuh.

 

Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan tahun kewangan 2024 (FY24) kumpulan sebanyak 36% selepas mereka mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM54.2 juta bagi separuh pertama FY24 (1HFY24), yang mencapai 88% daripada ramalan setahun penuh.

 

"Varians itu datang sebahagian besarnya daripada margin pembinaan yang lebih baik daripada jangkaan, hasil pengebilan kemajuan yang lebih agresif untuk projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) di Selangor dan fasa ketiga projek tebatan banjir Sungai Pahang,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 2QFY24 melonjak lebih empat kali ganda kepada RM51.18 juta daripada RM10.87 juta setahun sebelumnya, apabila sumbangan daripada segmen pembinaannya meningkat dua kali ganda.

 

Keuntungan daripada bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar melonjak 146% kepada RM88.03 juta pada 2QFY24, meningkat daripada RM35.83 juta pada 2QFY2023. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil kumpulan bagaimanapun merosot 37% tahun ke tahun pada 1HFY24 disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada cabang kejuruteraan, pembinaan dan persekitarannya yang lebih rendah.

 

Katanya, segmen pembangunan hartanah MRCB melaporkan kerugian.

 

Bagaimanapun, syarikat itu mencapai RM497.4 juta dalam jualan hartanah pada 1HFY24 dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan dalaman RM800 juta, manakala jualan belum dibilkan berada pada paras terendah RM558.7 juta.

 

"Kumpulan itu sedang berusaha untuk menambah buku pesanannya sekurang-kurangnya RM4bil dan buku tender semasanya berjumlah RM34 bilion," katanya.

 

Kenanga Research menyukai MRCB kerana keududukan tanahnya terletak berhampiran dengan pengangkutan awam dan ia berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapatkan pakej kerja MRT3 berdasarkan rekod prestasinya dalam projek rel awam. 

 

Bagaimanapun, terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi pelaksanaan projek.

 

"Kami menyemak naik penarafan kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 62 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com