Prospek pemulihan semakin cerah, tiada keperluan turunkan lagi OPR - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prospek pemulihan semakin cerah, tiada keperluan turunkan lagi OPR - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Penganalisis melihat tiada keperluan untuk menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sekali gus menjangkakan kadar faedah itu akan dikekalkan pada 1.75% bagi sepanjang tahun ini. 

 

Unjuran itu dibuat setelah mengambil kira kelonggaran yang diberikan dalam sekatan pergerakan selain kerajaan akan menumpukan kepada pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan, menurut firma penyelidikan, MIDF Research. 

 

“Dalam pada itu, sokongan daripada pakej rangsangan fiskal juga akan membantu untuk mengehadkan kemerosotan ekonomi daripada penguatkuasaan ‘lockdown’

 

“Di sebalik kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang perlahan kerana penguatkuasaan semula sekatan pergerakan yang lebih ketat di beberapa negara untuk membendung jangkitan COVID-19, kami percaya peningkatan dalam aktiviti ekonomi domestik akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada baki tahun ini dan memasuki 2022. 

 

“Dengan inflasi dijangka lebih sederhana berbanding awal tahun ini, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 1.75% sehingga hujung tahun ini,” jelas firma itu dalam satu nota kajian. 

 

Semalam, BNM mengekalkan OPR pada 1.75% berdasarkan ekonomi global yang terus pulih, disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. 

 

Kekuatan pemulihan berbeza-beza merentasi pelbagai negara terutama mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar, kata bank pusat itu.

 

Senada MIDF, Kenanga Research terus percaya bahawa OPR tidak berubah pada kadar 1.75% sehingga akhir tahun ini memandangkan prospek dasar monetari tidak banyak berubah berbanding sebelum ini. 

 

Namun, firma itu tidak menolak kemungkinan bahawa BNM masih ada ruang cukup untuk menurunkan lagi OPR dan Keperluan Rizab Berkanun ekoran keadaan yang masih tidak menentu dan kemunculan varian-varian COVID-19 baharu.

 

Bagi penganalisis di CGS-CIMB Research, Lim Yee Ping pula, sebarang langkah untuk mengembalikan kadar faedah kepada paras normal mungkin hanya bermula pada separuh kedua tahun 2022 (2H22) berbanding unjuran awal pada suku kedua 2022 (2Q22). 

 

“Mengambil kira landasan pemulihan yang tidak menentu setakat ini, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 secara rasmi disemak turun kepada 3% hingga 4% baru-baru ini (berbanding 6-7.5%), kami berpendapat BNM kekal ‘bersabar’ dalam memperketatkan dasar monetari,” ujar beliau. - DagangNews.com