Prospek pendapatan Ancom Nylex kekal kukuh dipacu peningkatan kapasiti, produk baharu – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan Ancom Nylex kekal kukuh dipacu peningkatan kapasiti, produk baharu – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Prospek pendapatan Ancom Nylex Bhd kekal kukuh disokong oleh pelbagai pemacu pendapatan seperti pengembangan kapasiti pertanian dan produk baharu dalam perniagaan kimianya akan memacu pertumbuhan sepanjang FY24-25.

 

Susulan keputusan tahun kewangan 2023 (FY23) yang berada dalam jangkaan, Kenanga Research berkata permintaan sihat untuk produk kimia pertanian atau agrokimia, terutamanya produk berasaskan monosodium methane arsonate (MSMA)  yang semakin meningkat berikutan pemansuhan paraquat secara berperingkat di pasaran seperti Thailand, Brazil dan Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata persaingan semakin sengit tetapi kelihatan terurus dengan trajektori pertumbuhan yang menguntungkan di hadapan.

 

“Ancom Nylex telah melancarkan dua produk agrokimia baharu, Bromacil dan Ester untuk nanas dan bijirin pada FY22. Kumpulan itu kini membina kapasiti untuk melancarkan dua hingga tiga lagi produk sepanjang FY24-25,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, Kenanga Research berpendapat bahawa penyatuan cabang logistiknya juga harus membuahkan hasil, di mana pada Oktober 2022, Ancom Nylex telah membayar RM8 juta untuk meningkatkan pegangan efektifnya dalam Ancom Nylex Terminal (ANT) daripada 17% kepada 66%.

 

“Kumpulan itu memperoleh kepakaran atau aset bersebelahan seperti HJ Unkel Chemicals untuk mengukuhkan perolehan juga atau pemerolehan aset berkaitan kesihatan haiwan (Shennong) pada Disember 2021,” tambahnya.

 

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.80.

 

“Kami terus menyukai Ancom Nylex kerana kedudukannya sebagai: (i) pengeluar bahan aktif racun herba terbesar di Asia Tenggara, (ii) penerima manfaat larangan meluas penggunaan paraquat dan (iii) proksi kepada pengeluaran global makanan dan matlamat keterjaminan makanan,” katanya.

 

Mengulas mengenai keputusan FY23, Kenanga Research berkata ia menepati unjuran namun di bawah unjuran konsensus sebanyak 7%.

 

Firma itu berkata, prestasi tersebut adalah monumental dengan keuntungan bersih meningkat 52% YoY disebabkan peningkatan jualan agrokimia lebih, pendapatan yang lebih baik daripada perniagaan logistik dan penggearan kumpulan hampir separuh.

 

Pada waktu penulisan, saham Ancom Nylex kekal pada RM1, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM974.9 juta. - DagangNews.com