Prospek pendapatan FY21 Mah Sing dijangka lebih positif | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan FY21 Mah Sing dijangka lebih positif

Mah Sing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Prospek pendapatan syarikat pemaju hartanah terkenal, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dijangka lebih positif menjelang tahun kewangan 2021 (FY21).

 

MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada sumbangan pendapatan daripada pengeluaran produk baharu syarikat berkenaan itu sarung tangan.

 

"Kami menjangkakan prospek pendapatan yang positif untuk Mah Sing pada tahun kewangan 2021 kerana sumbangan pendapatan daripada pembuatan sarung tangan dan pemulihan dalam segman hartanah.

 

"Selain itu, prospek penjualan untuk Mah Sing adalah stabil kerana penjualannya berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penjualan baharu.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' saham di Mah Sing," jelas MIDF Research dalam nota kajiannya hari ini.

 

Syarikat berkenaan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM35.9 juta pada sembilan bulan pertama 2020 (9M20).

 

Bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2020 pula, Mah Sing mencatatkan jumlah pendapatan bersih sebanyak RM22.1 juta berbanding RM1.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2020.

 

Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan pendapatan terkumpul untuk tempoh sembilan bulan pertama adalah sebanyak RM35.9 juta, turun 59.2% berbanding tahun sebelumnya.

 

Penurunan berkenaan adalah disebabkan oleh kelewatan pembinaan pada suku kedua 2020 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Dalam pada itu, Mah Sing berjaya mencatatkan jumlah penjualan hartanah yang tinggi sebanyak RM428.5 juta pada suku ketiga 2020 berbanding penjualan hartanah baharu sebanyak RM171.6 juta pada suku kedua 2020.

 

Prestasi berkenaan sekali gus menjumlahkan penjualan baharu komulatif syarikat berkenaan dalam tempoh sembilan bulan pertama ialah RM874.1 juta.

 

Ujar MIDF Research, jumlah yang dicapai itu sekali gus menempatkan Mah Sing di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan baharu yang dikekalkan sebanyak RM1.1 bilion.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kami untuk tahun kewangan 2020/2021. Kami juga mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) Mah Sing pada harga RM1.07," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com