Prospek penggiat perkhidmatan huluan sektor minyak dan gas tetap positif disokong peningkatan aktiviti tahun depan - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek penggiat perkhidmatan huluan sektor minyak dan gas tetap positif disokong peningkatan aktiviti tahun depan - RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - RHB Investment mengekalkan pendirian positif terhadap prospek penggiat perkhidmatan huluan dalam sektor minyak dan gas dengan panduan peningkatan aktiviti pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas, di mana Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) 2024-2026 terkini masih menunjukkan prospek yang menjanjikan untuk penggiat perkhidmatan huluan. 

 

"Kami terus menyukai penggiat berkaitan penyelenggaraan dengan peningkatan dalam aktiviti, manakala OSV (kapal sokongan luar pesisir) dan penyahtauliahan telaga, pada pandangan kami, juga merupakan titik positif dalam sektor ini. 

 

"Kami mengekalkan harga minyak untuk 2024 hingga 2026 pada AS$85, AS$80 dan AS$80 setiap tong," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pilihan utama firma tersebut bagi sektor ini adalah Yinson Holdings Bhd (beli, harga sasaran [TP]: RM3.06) dan Dayang Enterprise Holdings Bhd (beli, TP: RM2.47).

 

RHB Investment berkata Petronas menyasarkan untuk mengekalkan dan mengembangkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia hingga 2 juta tong setara minyak (mmboe) sehari menjelang 2025 dan seterusnya.

 

Jelasnya, ini akan disokong oleh projek utama seperti Kasawari, Jerun, Rosmari-Marjoram dan Lang Lebah, Gumusut-Kakap Redev dan Kluster Belud dalam kalangan yang lain. 

 

"Pada tahun-tahun akan datang, lebih 45 projek huluan akan dilaksanakan dan lebih daripada 25 telaga dijangka digerudi setahun, memfokuskan kepada telaga air cetek di Malaysia Barat dan Sarawak, dan telaga air dalam di Sabah," tambahnya.

 

Menurut RHB Investment, penggiat perkhidmatan penyelenggaraan, iaitu Dayang Enterprise, Carimin Petroleum Bhd dan Petra Energy Bhd berkemungkinan mendapat manfaat daripada unjuran kerja-kerja sambungan dan pentauliahan (HUC) dan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM)yang lebih tinggi pada 2024.

 

Manakala Pelan Penambahbaikan Kemudahan (FIP) termasuk projek pembaharuan, aktiviti penukaran penjana gas dan aktiviti penyelenggaraan utama lain boleh memberi manfaat kepada penggiat penyelenggaraan tersenarai yang lebih luas. 

 

"Selain itu, memandangkan terdapat kekurangan bekalan, jumlah permintaan OSV lebih tinggi pada 2024 berkemungkinan menghasilkan penggunaan kapal yang lebih baik dan kadar sewa harian, memanfaatkan penggiat OSV seperti Perdana Petroleum Bhd, Icon Offshore Bhd, dan Marine & General Bhd. 

 

"Peningkatan dalam unjuran penyahtauliahan telaga akan menjadi petanda baik untuk Uzma Bhd," tambahnya. - DagangNews.com