Prospek positif sektor hartanah didorong kehadiran semula pelancong asing ke Malaysia, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek positif sektor hartanah didorong kehadiran semula pelancong asing ke Malaysia, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Kehadiran pelancong asing ke Malaysia memberi prospek positif kepada sektor hartanah.

 

MIDF Research berkata, kehadiran yang lebih tinggi pada 2023 adalah positif kepada sektor itu kerana pembeli asing membentuk sekitar 10% hingga 15% daripada keseluruhan pembeli sebelum pandemik.

 

Katanya, kehadiran semula pelancong dari Singapura dan China mungkin meningkatkan minat belian terhadap hartanah di Kuala Lumpur dan Johor.

 

"Jualan hartanah di wilayah Selatan Malaysia bertambah baik berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat minat belian mungkin bergantung kepada daya tarikan insentif untuk warga asing membeli hartanah di Malaysia seperti Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, menerusi minat belian yang lebih tinggi daripada warga asing, ia dilihat dapat membantu menambah baik keadaan hartanah tidak terjual di Malaysia.

 

Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman tidak terjual di Malaysia berjumlah 27,746 unit pada 2022, menurun daripada 36,863 unit pada 2021.

 

"Johor mempunyai unit kediaman tidak terjual tertinggi iaitu 6,089 diikuti Selangor (6,095 unit) dan Pulau Pinang (5,493 unit).

 

"Kami berpendapat bahawa minat belian daripada warga asing boleh menambah baik kediaman tidak terjual di Malaysia terutamanya negeri yang mempunyai unit tidak terjual yang lebih tinggi iaitu Johor, Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

 

Firma mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu.

 

"Kami melihat bahawa hartanah dalam segmen pertengahan dan mampu milik akan terus menyaksikan minat belian yang berdaya tahan daripada pembeli hartanah kerana pembeli mencari hartanah yang mereka mampu milik di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang normal.

 

"Oleh itu, kami terus memihak kepada syarikat yang memberi tumpuan kepada hartanah julat harga mampu milik iaitu Mah Sing Group (beli, TP: 75 sen) dan Glomac Berhad (beli, TP: 43 sen) kerana pendedahan mereka yang tinggi kepada pasaran pertengahan dan kediaman mampu milik," katanya. - DagangNews.com