KUALA LUMPUR 12 Dis - MIDF Research mengunjurkan prospek Real Estate Investment Trust (REIT) kekal stabil pada 2024 berikutan permintaan kukuh untuk ruang industri di Malaysia.
Katanya, permintaan terhadap ruang industri di Malaysia kekal berdaya rahan berikutan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang dibuktikan dengan peningkatan pendedahan kepada pembangunan hartanah industri oleh beberapa syarikat hartanah.
"Kami berpendapat bahawa pendapatan REIT perindustrian akan kekal stabil pada masa hadapan.
"Sementara itu, REIT penjagaan kesihatan iaitu Al-Aqar Healthcare REIT dijangka terus meraih pendapatan sewa yang stabil daripada aset penjagaan kesihatannya kerana industri penjagaan kesihatan kekal berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan REIT runcit merekodkan pertumbuhan positif pada tahun ini terutama apabila orang ramai kembali membeli-belah secara fizikal di pusat beli-belah sekali gus kepada pemulihan kukuh yang menyokong pertumbuhan jualan penyewa.
Memandang ke hadapan, firma itu melihat REIT runcit akan kembali kepada pertumbuhan organik bermula 2024 dan seterusnya.
"Kami melihat pusat beli-belah di lokasi utama seperti Mid Valley Megamall, Sunway Pyramid, Suria KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur mencatatkan pengembalian sewa positif pada 2024 dengan kuantum peningkatan adalah sama dengan tahap pra pandemik.
"Selain itu, jangkaan ketibaan pelancong yang lebih tinggi akan meningkatkan lagi jumlah pengunjung membeli-belah.
"Oleh itu, kami menjangkakan IGB REIT, Sunway REIT, KLCCP Stapled Group dan Pavilion REIT melihat peningkatan pendapatan sewa daripada segmen runcit mereka pada 2024," katanya.
MIDF Research kekal positif pendapatan sektor itu terutama REIT runcit kekal dengan trajektori menaik disokong pengembalian sewa yang positif dan pergerakan pembeli yang kukuh di pusat beli-belah.
Selain itu katanya, jangkaan ketibaan pelancong yang lebih tinggi akan terus menyokong industri runcit serta industri perhotelan. - DagangNews.com