Prospek segmen automotif kembali cerah 2022 | DagangNews Skip to main content

Prospek segmen automotif kembali cerah 2022

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Sektor automotif dijangka mengalami pemulihan yang lebih kukuh tahun hadapan dengan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 600,000 unit.

 

Kenanga Research berkata, dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi, dan seterusnya didorong oleh pengecualian cukai jualan 100% ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50% ke atas CBU termasuk SUV dan MPV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022, pihaknya menjangkakan pemulihan memberangsangkan dalam jualan kereta terutamanya dengan semakin banyak tempahan untuk model popular dan barisan model baharu yang dijangka dilancarkan pada 2022. 

 

"Namun begitu, bagi model tertentu, pemulihan dalam pengeluaran kereta mungkin dihadkan oleh kekangan global yang berterusan dalam bekalan cip semikonduktor," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Kenanga berkata, untuk tahun ini pula pihaknya kekal Neutral terhadap sektor berkenaan dengan TIV disasarkan sebanyak 505,000 unit.

 

Tambahnya, sentimen pengguna dalam 3QCY21 telah melebihi ambang keyakinan selepas tiga tahun apabila pengguna menjadi lebih optimistik terhadap perbelanjaan untuk barangan tahan lama seperti kenderaan, barangan import dan perjalanan tempatan memandangkan perjalanan ke luar negara masih terhad terutamanya dengan penularan varian Omicron di negara Eropah

 

Ujarnya, walaupun prospek inflasi masih tinggi, jangkaan kewangan dan pekerjaan yang bertambah baik telah meningkatkan rancangan membeli-belah pengguna dalam beberapa bulan akan datang. 

 

"Pelbagai bantuan kerajaan yang diumumkan membantu mengekalkan keyakinan pengguna sepanjang tahun ini khususnya pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang danlanjutan moratorium pinjaman untuk individu yang mengalami masalah kewangan. 

 

"Secara keseluruhan, kadar kelulusan pinjaman kenderaan penumpang menunjukkan keyakinan positif pada 50% walaupun baru pulih daripada dua bulan penutupan berbanding 31% terendah pada April 2020 semasa PKP," katanya.

 

Melihat ke hadapan untuk 4QCY21, Kenanga menjangkakan kebanyakan pemain auto akan mencatatkan jualan yang lebih kukuh dengan pembukaan semula sepenuhnya sektor Automotif.

 

"Ini juga dirangsang oleh jumlah tempahan backlog yang ketara yang berlanjutan sehingga enam bulan untuk model tertentu," katanya. -DagangNews.com