Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Prospek perniagaan kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dijangka kekal mencabar, menurut firma penyelidikan, Kenanga Research.
Jelas penganalisisnya, Ahmad Ramzani Ramli, ini disebabkan oleh persaingan yang bertambah sengit dalam ruangan segmen tersebut ekoran kemunculan pesaing baharu selain waktu operasi yang lebih singkat semasa penguatkuasaan sekatan pergerakan.
“Tiada perubahan mengenai pandangan kami berhubung peningkatan prestasi kumpulan dari segi suku tahunan, walaupun ia lebih perlahan daripada jangkaan ekoran penguatksaan ‘lockdown’, di mana bergantung kepada jumlah kehadiran pelanggan yang kembali normal.
“Namun, kerugian yang diramalkan dijangka dapat diturunkan oleh sumbangan yang kukuh daripada segmen farmasinya, kerana permintaan untuk produk farmasi diunjurkan tetap meningkat pada tahun 2021,” katanya dalam satu nota kajian.
Menurut Ahmad Ramzani, prestasi kewangan 7-Eleven untuk tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2021 (6MFY21) lebih lemah daripada jangkaan kerana operasi kedai sebaneka kumpulan menerima tekanan daripada ‘lockdown’ yang berpanjangan.
Namun, segmen farmasinya menyaksikan pertumbuhan kukuh dipacu oleh situasi pandemik semasa.
Kenanga meningkatkan harga sasaran (TP) 7-Eleven kepada RM1.60 daripada RM1.50 setelah mengambil kira sumbangan yang berdaya tahan dan kukuh daripada operasi farmasinya dengan penarafan ‘market perform’ dikekalkan.
CGS-CIMB Research sebaliknya menjangkakan jualan dan kehadiran pelanggan ke operasi kedai serbaneka kumpulan akan bertambah baik dari segi perbandingan suku tahunan, memandangkan sekatan pergerakan secara beransur-ansur dilonggarkan.
Ini seiring kadar vaksinasi COVID-19 yang terus meningkat, kata penganalisis di firma itu, Syazwan Aiman Sobri.
Ujar beliau, 7-Eleven dijangka memulakan semula pelan pengembangan kedai kumpulan ketika ketidaktentuan terhadap sekatan pergerakan mereda.
“Kami menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) pada FY21 hingga FY23 sebanyak 1.4% hingga 25.0%, terutamanya disebabkan oleh kehadiran pelanggan yang lebih lemah ekoran sekatan pergerakan yang masih berterusan.
“Kami mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas sahamnya dengan TP lebih rendah kepada RM1.71, seiring penurunan unjuran perolehan kami,” katanya. - DagangNews.com