Prospek sektor sarung tangan getah positif disokong usaha pengurangan kos berkesan, pemulihan permintaan – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor sarung tangan getah positif disokong usaha pengurangan kos berkesan, pemulihan permintaan – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - AmInvestment Bank Research menaik taraf sektor sarung tangan getah kepada ‘neutral’ daripada ‘underweight’ berikutan usaha pemotongan kos yang berkesan dan peningkatan keyakinan terhadap pemulihan permintaan pada awal 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata penarafan tersebut mencerminkan peningkatan terkini saranan terhadap Hartalega daripada ‘jual’ kepada ‘beli’ (nilai saksama [FV]: RM2.80), serta Kossan daripada ‘jual’ kepada ‘pegang’ (FV: RM1.34), terutamanya disebabkan oleh kejutan positif daripada inisiatif pengurangan kos berkesan yang meningkatkan pendapatan dan penurunan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) ke hadapan ke tahap yang lebih menarik atau selesa.

 

“Selain itu, keyakinan kami yang meningkat disokong oleh penemuan bahawa penggiat China tidak akan meningkatkan kapasiti secara material dalam tempoh terdekat, ditambah pula dengan kemungkinan pemulihan permintaan dalam kalangan pembuat sarung tangan Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas tentang purata harga jualan (ASP), AmInvestment menjangkakan bahawa ASP Malaysia akan terus menurun walaupun kos bahan mentah meningkat pada suku keempat tahun ini berikutan permintaan yang lemah, selaras dengan panduan yang disediakan oleh pembuat sarung tangan tempatan.

 

Selain itu, firma tersebut menjangkakan ASP bertambah baik pada awal 2024 seiring dengan andaiannya terhadap permulaan kitaran penambahan inventori dalam kalangan pembuat sarung tangan Malaysia.

 

“Secara keseluruhannya, kami mengekalkan andaian penambahan inventori yang bermakna dalam kalangan pembuat sarung tangan Malaysia menjelang suku pertama 2024.

 

“Kami lebih optimis terhadap pembuat sarung tangan Malaysia dengan pendedahan lebih tinggi kepada sarung tangan getah nitril (Hartalega dengan lebih 90% daripada hasil dan Kossan sebanyak 80%), berbanding dengan mereka yang lebih terdedah kepada susu getah (iaitu Top Glove [pegang, FV:86 sen]).

 

“Ini kerana Top Glove bersaing dengan Sri Trang, yang kilangnya beroperasi pada kadar 60% dalam suku ketiga tahun ini dengan struktur kos lebih menguntungkan,” tambahnya.

 

Oleh itu, AmInvestment menjangkakan pendapatan atau kerugian bertambah baik QoQ secara beransur-ansur dalam kalangan tiga pembuat sarung tangan di bawah liputannya.

 

Walaupun ASP lebih rendah akibat harga bahan mentah yang lebih tinggi, firma itu berkata ini akan dikurangkan sepenuhnya oleh skala ekonomi yang dicapai daripada penggunaan kilang lebih tinggi pada suku keempat 2024.  - DagangNews.com