Prospek SP Setia positif didorong jualan hartanah di Selangor, Maybank IB naikkan unjuran pendapatan bagi FY23-25 | DagangNews Skip to main content

Prospek SP Setia positif didorong jualan hartanah di Selangor, Maybank IB naikkan unjuran pendapatan bagi FY23-25

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah meningkatkan sedikit unjuran pendapatan SP Setia Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 1 hingga 0.4%.

 

Firma penyelidikan itu membuat pelarasan pendapatan susulan keputusan 1QFY23 yang dikeluarkan pada 17 Mei memandangkan prospek pendapatan kumpulan dilihat lebih baik.

 

“Kami meningkatkan sedikit ramalan pendapatan FY23, 24 dan 25 masing-masing sebanyak 1%,1% dan 0.4% untuk mengambil kira jualan inventori yang lebih pantas daripada jangkaan,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu berkata pendapatan kumpulan sepatutnya meningkat dengan kukuh pada 2Q atau 3QFY23 dan 4QFY23 dengan potensi penjualan tanah di Selangor.

 

Menurut firma itu, jualan hartanah kumpulan pada tiga bulan pertama 2023 sebanyak RM1.03 bilion menyumbang 25% daripada matlamat jualan FY23 sebanyak RM4.2 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata majoriti jualan RM1.03 bilion diperoleh dari Lembah Klang, diikuti oleh Johor (27%) dan luar negara (13%).

 

“Pengurusan mengekalkan sasaran jualan FY23, didorong oleh pelancaran baharu bernilai RM6.2 bilion, di mana 56% daripadanya berharga melebihi RM1 juta seunit; 32.5% antara RM500,000 hingga 1 juta seunit dan baki kurang daripada RM500,000 seunit,” tambahnya.

 

Pada Mac 2023, SP Setia mempunyai tempahan bernilai RM512 juta dan jualan tidak dibil berjumlah RM7.2 bilion.

 

Dari segi kunci kira-kira, Maybank IB berkata kumpulan itu menjangka penggearan bersih akan berkurangan kepada 0.5 kali menjelang akhir 2023 dengan penjualan aset atau tanah.

 

Firma itu menjelaskan bahawa SP Setia sedang dalam peringkat awal rundingan untuk pelupusan bank tanah bukan teras yang boleh menjadi kenyataan pada 2Q/3QFY23 dan 4QFY23.

 

Mengulas mengenai keuntungan 1QFY23, firma itu berkata keuntungan bersih sebanyak RM50.3 juta yang menyusut 7.6% YoY dan 49.3% QoQ merangkumi anggaran tahun penuh firma dan konsensus sebanyak 13% dan 17%.

 

Firma itu telah menaik taraf saranan kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham. -DagangNews.com