KUALA LUMPUR 14 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Construction Group Bhd. dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.69 sesaham memandangkan prospek kumpulan dijangka lebih kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
Malah, firma itu juga berpendapat syarikat pembinaan itu dilihat sebagai calon paling layak untuk meraih kontrak bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
Ia menjangkakan pakej kerja bagi kontraktor utama akan diumumkan pada suku keempat ini atau selewat-lewatnya suku pertama 2023 beserta kerja-kerja bagi subkontrak.
"Kami melihat kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih kontrak MRT3 berdasarkan kepada kunci kira-kiranya yang kukuh dan rekod prestasinya dalam projek MRT1 dan MRT2," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat ini, perolehan kontrak kumpulan berjumlah RM881 juta dan hanya merangkumi 44% daripada sasaran FY23 sebanyak RM2 bilion.
Bagaimanapun, AmInvestment mengekalkan unjuran tambahan kontrak yang lebih konservatif sebanyak RM1.7 bilion buat masa ini.
"Dengan nilai tender berjumlah RM17 bilion, potensi tambahan kerja mungkin datang daripada pembinaan pusat data dan kilang pembuatan semikonduktor, kerja pembinaan dalaman daripada syarikat berkaitan Sunway Group dan kerja-kerja bertingkat atas tanah bagi projek MRT3," katanya.
Menurut firma itu, Sunway Construction juga berdepan dengan kelembapan penglibatan kontraktor bagi tender untuk projek bukan kediaman swasta sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
"Kami berpendapat pemilik projek mungkin mengambil langkah bertahan terlebih dahulu, sementara menunggu kedudukan yang lebih stabil selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," tambahnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment menjangkakan margin operasi kumpulan kekal stabil pada 7% bagi FY23 dan FY24 memandangkan kebanyakan kos bahan binaan telah meningkat sehingga paras puncak pada suku kedua FY22.
"Kumpulan menjangkakan harga keluli akan stabil pada FY23. Sekitar Jun/Julai tahun ini, ia berjaya menetapkan harga bagi keluli yang diperlukan sehingga Disember 2022," katanya.
Setakat 10.27 pagi ini, harga saham Sunway Construction kekal tidak berubah pada RM1.53 sesaham. - DagangNews.com