Prospek Supermax bagi FY23 membimbangkan, penganalisis semak turun penarafan kepada 'jual' | DagangNews Skip to main content

Prospek Supermax bagi FY23 membimbangkan, penganalisis semak turun penarafan kepada 'jual'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Supermax Corp. Bhd. dijangka terus mencatat prestasi lemah pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) ekoran kenaikan kos bahan mentah dan penurunan jumlah jualan.

 

Ini menyaksikan firma-firma penyelidikan mengurangkan harga sasarannya dengan penarafan sahamnya juga disemak semula.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Walter Aw berkata, harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah Supermax akan terus menyusut kepada AS$20 hingga AS$21 per 1,000 keping daripada anggaran AS$23 hingga AS$24 setakat akhir suku keempat FY22. 

 

Katanya, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu turut memperlahankan pelan pengembangannya di Malaysia manakala empat kilang baharunya masih berada di pelbagai peringkat pembinaan. 

 

"Kilang-kilang ini hanya dijangka memulakan pengeluaran apabila permintaan kembali pulih dalam pasaran global sarung tangan getah. 

 

"Sebaliknya, pelan pengembangan di Amerika Syarikat (AS) berada dalam landasan untuk memulakan operasi pada 2023, melibatkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM1.6 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berikutan prospek Supermax yang masih suram, beliau mengekalkan pandangan 'kurang' dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada 50 sen daripada 94 sen sebelum ini.

 

Sejajar dengan semakan itu, pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 juga dikurangkan antara 25.3 hingga 71.7% dengan mengambil kira jumlah jualan yang lebih rendah dan kelemahan ASP.

 

Supermax mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM732.43 juta bagi FY22 berbanding RM3.82 bilion setahun lepas susulan kemerosotan berterusan ASP serta permintaan terhadap sarung tangan getah.

 

Pendapatannya turut merosot kepada RM2.69 bilion daripada RM7.16 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya. 

 

Pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022, kumpulan turut merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM33.05 juta manakala pendapatannya merosot 84% kepada RM300.23 juta daripada RM1.87 bilion, setahun lalu.

 

Sementara itu, MIDF Research menyemak turun penarafan Supermax kepada 'jual' berbanding 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada 65 sen daripada 88 sen. 

 

Menurutnya, jualan sarung tangan getahnya terjejas dengan perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) pada Oktober 2021 dan larangan yang dikenakan kerajaan Kanada terhadap import produk Supermax.

 

"Memandangkan WRO ini masih lagi berkuatkuasa, kami menjangkakan jumlah jualan akan terus menurun. Pada FY21, sebanyak 9% daripada keseluruhan pendapatan adalah dari Kanada," katanya.

 

Firma itu berhati-hati dengan prospek Supermax bagi FY23 ekoran penurunan ASP ke paras sebelum pandemik, kos input yang lebih tinggi dan sekatan CBP AS yang masih berpanjangan.

 

Oleh itu, ia mengurangkan anggaran keuntungan bersih bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 18.4% dan 11.3% bagi mencerminkan pemampatan margin. 

 

"Ini mengambil kira pengurangan ASP kepada AS$21.7 dan AS$22.1 manakala kadar penggunaan pada 41% dan 41.8% masing-masing bagi FY23 dan FY24," jelasnya.  

 

Setakat 9.06 pagi, harga saham Supermax susut 0.5 sen atau 0.65% kepada 77 sen dengan 499,700 saham diniagakan. - DagangNews.com