Prospek Top Glove kekal suram bagi FY22, penganalisis nilai TP lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Prospek Top Glove kekal suram bagi FY22, penganalisis nilai TP lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Mac - Top Glove Corp. Bhd. dilihat masih berdepan beberapa ketidaktentuan yang akan menyaksikan prestasi lebih lemah pada separuh kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22).

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Walter Aw menyifatkan kebimbangan buat Top Glove masih belum berakhir dengan mengambil kira risiko penurunan pendapatannya dan persekitaran operasi yang kekal lemah. 

 

Ini kerana katanya, harga jualan purata (ASP) dijangka terus menurun pada suku ketiga walaupun berada pada tahap terendah dalam lingkungan AS$25 hingga AS$26 setiap 1,000 keping (menurun 3.7% hingga 7.4% suku ke suku).

 

"Di sebalik jangkaan jumlah jualan yang lebih tinggi pada separuh kedua daripada permintaan pelanggan yang meningkat dan kurangnya persaingan harga, terdapat beberapa halangan yang perlu dihadapai Top Glove pada masa hadapan.

 

"Ini termasuklah harga bahan mentah yang lebih tinggi, kos buruh (Top Glove menaikkan gaji minimum kepada RM1,400 berbanding RM1,200 mulai Februari 2022) dan juga kos utiliti," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 dengan mengambil kira harga bahan mentah dan kos operasi yang lebih tinggi. 

 

Malah, ia turut mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.30 daripada RM1.50 sebelum ini.

 

Baca : Keuntungan, pendapatan Top Glove merosot pada suku kedua

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Top Glove menjunam kepada RM87.55 juta bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2022 berbanding RM2.87 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 manakala pendapatan susut kepada RM1.45 bilion daripada RM5.37 bilion.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 28 Februari 2022, untung bersihnya merosot kepada RM273.27 juta daripada RM5.23 bilion manakala pendapatan terus susut kepada RM3.03 bilion daripada RM10.12 bilion. 

 

Prestasi kewangan yang lemah ini disebabkan oleh ASP yang semakin normal, menghampiri paras sebelum pandemik, selain kos bahan mentah yang mengakibatkan mampatan margin. 

 

 

top glove

 

 

Berikutan prestasi kewangannya yang kurang memuaskan, MIDF Research mengurangkan unjuran pendapatan Top Glove sebanyak 39.2% bagi FY22 kepada RM962.2 juta manakala 28.2% bagi FY23 kepada RM976.2 juta.

 

Semakan ini, katanya, disebabkan penurunan ASP sarung tangan getah yang telah menjejaskan hasil pada suku kedua. 

 

"Kami menjangkakan ASP akan kekal dalam aliran menurun berikutan meningkatnya pelancaran vaksin di seluruh dunia dan persaingan dalam industri sarung tangan getah," katanya. 

 

Ini mendorong firma itu menyemak turun TP kepada RM1.75 daripada RM2.27 sebelum ini, sebaliknya mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Top Glove.

 

Pada masa sama, Hong Leong Investment Bank Research turut menyemak turun TP kepada RM1.33 daripada RM1.56 selepas mengurangkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi FY22-FY24 sebanyak 5 hingga 18%.

 

Penganalisisnya, Sophie Chua Siu Li berkata, unjuran kepentingan minoriti (MI) dan kos operasi dinaikkan, untuk menggambarkan pemampatan margin dengan lebih baik yang timbul daripada ketidakupayaan untuk meneruskan perbelanjaan tambahan sepenuhnya.

 

Dengan mengambil kira risiko penurunan, firma itu secara keseluruhan mengekalkan penafaran saham Top Glove dengan saranan 'jual'. 

 

Setakat 10.20 pagi ini, harga saham Top Glove susut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.67 dengan 8.28 juta saham diniagakan. - DagangNews.com