Prospek TSH Resources kekal samar berikutan pergerakan harga minyak sawit mentah tiada banyak pemangkin – MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Prospek TSH Resources kekal samar berikutan pergerakan harga minyak sawit mentah tiada banyak pemangkin – MIDF Research 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov - Prospek TSH Resources Berhad kekal samar berikutan pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) tiada banyak pemangkin dan syarikat itu merupakan penggiat operasi huluan tulen, yang mempunyai korelasi tinggi dengan pergerakan MSM.

 

MIDF Research berkata pendapatan kumpulan melemah dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM69.5 juta, yang jatuh 60% tahun ke tahun (YoY), merangkumi unjuran firma dan konsesus sebanyak 75% dan 53%.

 

Ini adalah berikutan pendapatan TSH Resources merosot 21.4% kepada RM805.6 juta ekoran purata harga jualaan (ASP) MSM dan isirung sawit lebih rendah dalam segmen keluaran sawit.

 

Di samping itu, keuntungan operasi yang lebih rendah bagi kedua-dua segmen, selain penurunan sumbangan syarikat bersekutu masing-masing berjumlah RM139.6 juta (25.4% YoY) dan RM7.5m (53.9% YoY).

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengeluaran buah tandar segar kumpulan itu lebih rendah sedikit 2.4% YoY pada 257,578 tan metrik berikutan gabungan keadaan musim kemarau di Indonesia dan pengurangan kawasan penuaian disebabkan oleh pelupusan dua ladang di Sabah pada 1HFY22.

 

Manakala margin bagi segmen produk sawit kini mengecil 4.6 mata peratusan kepada 25.6% disebabkan peningkatan kos pengeluaran.

 

"Pada 3QFY23, segmen yang lain meneruskan kerugiannya tetapi menguncup kepada RM3.8 juta (3Q22: RM33.9 juta). 

 

"Ini disebabkan terutamanya oleh kerugian nilai saksama pada perbelanjaan penanaman hutan sebanyak RM34.5 juta yang didaftarkan pada 3QFY22," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research mengekalkan anggaran pendapatankerana pendapatannya sejajar dengan unjuran. 

 

Tambahnya, prestasi TSH Resources setakat ini kekal memberangsangkan namun pengeluaran buah tandan segar berkurangan disebabkan cuaca kering di Indonesia, ditambah lagi dengan kos tinggi pengeluaran yang ditanggungnya.

 

"Terdapat kemungkinan untuk pendapatan meningkat terutamanya pada separuh pertama 2024 kerana Malaysia akhirnya akan menghadapi musim kering juga, yang akan menaikkan harga MSM, namun, setakat ini, peningkatan El Nino yang kukuh kekal lemah," tambahnya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 97 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 14.5 kali purata hampir lima tahun dengan menambat pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 6.7 sen.

 

Setakat pukul 9:35 pagi ini, saham TSH Resources turun 0.5 sen atau 0.5% kepada 99.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM1.37 bilion.  - DagangNews.com