Protasco catat kerugian bersih RM23 juta pada suku keempat akibat pendapatan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Protasco catat kerugian bersih RM23 juta pada suku keempat akibat pendapatan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Protasco Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM23 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding untung bersih sebanyak RM14.7 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, kerugian itu berpunca daripada hasil yang lebih rendah daripada segmen perniagaan penyelenggaraan, perdagangan, pendidikan dan tenaga.

 

Selain itu, kerugian itu juga didorong oleh pendapatan lain yang lebih rendah, perbelanjaan kewangan yang lebih tinggi dan kemerosotan nilai yang lebih tinggi.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku tersebut juga menyusut sebanyak RM100.2 juta daripada RM406 juta kepada RM305.8 juta. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM25.47 juta berbanding untung bersih RM38.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM881.5 juta, penyusutan sebanyak RM231.3 juta berbanding RM1.11 bilion pada tahun sebelumnya didorong oleh pendapatan yang lebih rendah dalam segmen penyelenggaraan selepas kurang mendapat projek kerja penyelenggaraan berkala.

 

Selain itu kumpulan itu juga mencatatkan pendapatan yang rendah daripada segmen perdagangan selain kekurangan pelajar dalam segmen pendidikan.

 

Persekitaran perniagaan yang lebih mencabar dalam tahun kewangan semasa telah menjejaskan prestasi kewangan segmen perniagaan tertentu kumpulan terutamanya disebabkan pemotongan bajet oleh kerajaan, kelewatan dalam memulakan projek disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh.

 

Selain itu, kemerosotan margin keuntungan akibat peningkatan kos input selain pemulihan pasaran hartanah yang perlahan selepas COVID-19 dan peningkatan kos pembiayaan.

 

"Lembaga pengarah akan terus berhati-hati dalam menguruskan perniagaan kumpulan untuk tahun kewangan akan datang.

 

"Walaupun kumpulan menjangkakan masalah jangka pendek dalam beberapa segmen perniagaannya, pengurusan kekal positif terhadap prospek perniagaan jangka sederhana dan panjang.

 

"Kumpulan juga secara aktif dan tekun mengejar peluang perniagaan lain untuk meningkatkan pulangan pemegang saham," katanya. - DagangNews.com