Proton bekerjasama dengan 3 syarikat e-pembidaan permudahkan proses jual beli kereta pelanggan | DagangNews Skip to main content

Proton bekerjasama dengan 3 syarikat e-pembidaan permudahkan proses jual beli kereta pelanggan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Pengeluar kereta nasional, Proton memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan tiga syarikat pembidaan (EBC) dalam talian yang terkenal untuk memudahkan proses penjualan kereta tukar beli untuk pelanggan. 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, dengan perjanjian bersama EBC termasuk myTukar, MUV dan Carsome, syarikat yakin ia mengambil langkah penting ke arah cara yang lebih pantas dan cekap untuk pelanggan memiliki kereta baharu.

 

"Kami sangat teruja untuk bergabung tenaga dengan myTukar, MUV dan Carsome kerana kami percaya ini mengubah pengalaman tukar beli untuk pelanggan kami. 

 

"Dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam platform e-dagang dan bidaan, EBC menawarkan pelanggan kami rumusan yang lancar dan boleh dipercayai untuk menjual kereta mereka, sambil turut menerima nilai tukar beli yang kompetitif," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Roslan, memandangkan jumlah jualan terus meningkat, keperluan untuk menawarkan cara yang lebih baik untuk menukar dan melupuskan kereta lama pelanggan menjadi jelas. 

 

Beliau berkata, perjanjian ini dijangka memberikan pelanggan pelbagai faedah, termasuk kemudahan yang dipertingkatkan, kebolehpercayaan, nilai tukar beli kompetitif, ketelusan dalam penetapan harga, pembayaran selamat dan pemindahan pemilikan, lelongan harian, penjualan lebih pantas dan pemeriksaan menyeluruh.

 

"Sejak lima tahun lepas, Proton telah menambah rangkaian model yang ditawarkan dan mengemas kini barisan semasa kami, sambil meningkatkan kualiti produk dan memperkenalkan teknologi ketersambungan dalam model kami. 

 

 

proton

 

 

"Keyakinan pengguna telah meningkat disebabkan usaha ini serta penambahbaikan yang dibuat di peringkat pengedar. Kerjasama dengan EBC akan membantu meningkatkan usaha ini serta nilai model kami sambil membantu memudahkan pelanggan yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka," katanya.

 

Beliau berkata, kerjasama Proton dengan EBC membolehkan pelanggan menghantar kenderaan mereka untuk dilelong melalui platform dalam talian yang mesra pengguna, yang mana mengurangkan keperluan pelanggan untuk melawat berbilang pengedar atau berunding dengan bakal pembeli, sekali gus menjimatkan masa mereka.

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Katanya, melalui sistem lelongan yang adil dan terbuka, pelanggan dapat menerima nilai tukar beli yang kompetitif untuk kenderaan mereka. 

 

Model penetapan harga yang telus memastikan pelanggan boleh membuat keputusan termaklum semasa proses tukar beli manakala proses pembayaran dan pemindahan pemilikan dipercepatkan untuk mengurangkan potensi kelewatan atau komplikasi, memberikan pelanggan pengalaman yang lancar, katanya.

 

 

proton

 

 

"Proton adalah pengeluar peralatan asli (OEM) pertama yang membentuk perjanjian strategik dengan EBC dan kami fikir ini akan membantu membuka jalan kepada transaksi tukar beli yang lebih pantas dan lebih telus untuk pelanggan dan seterusnya membantu memacu jualan kereta baharu. 

 

"Selain itu, dengan menggunakan platform terbuka, nilai jualan semula untuk model kami boleh dipertingkatkan, dan ini membantu membina keyakinan pengguna dan memberi gambaran pemilikan yang lebih jelas kepada pembeli," katanya. - DagangNews.com