SHAH ALAM 29 April – Pencapaian prestasi baik Proton pada permulaan 2021 memberi kesan kepada Proton Commerce Sdn. Bhd. yang dijangka mungkin mampu mencatat rekod baru bagi jumlah pinjaman.
Anak syarikat kewangan Proton itu telah mengalami penambahan jumlah pinjaman yang sepadan dengan penambahan jualan kenderaan Proton.
Pada 2018, sebanyak 5,410 pinjaman telah diluluskan dan jumlah ini hampir berganda dua kali ke 10,668 pinjaman pada tahun seterusnya.
Walaupun industri kewangan terjejas pada 2020 akibat wabak COVID-19 dan moratorium pinjaman untuk untuk meringankan beban peminjam, Proton Commerce berjaya meluluskan 14,189 pinjaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang berkata, pada tahun ini, syarikat ingin mencatat rekod baru dengan sasaran 20,000 pinjaman.
Beliau berkata, walaupun banyak sektor ekonomi terjejas akibat wabak COVID-19, sentimen pengguna bagi pembelian kenderaan tetap positif.
Katanya, peningkatan kualiti, penambahan pengedar and pelancaran produk baru oleh Proton telah berjaya meningkatkan daya tarikan kepada barisan modelnya yang jelas memberi kesan kepada jumlah permohonan pinjaman yang kami terima.
“Jumlah pinjaman yang diluluskan suku pertama tahun ini telah meningkat sebanyak 42.3% dan kami yakin kadar penambahan pada suku kedua akan meningkat lagi.
"Namun, pasaran sewa beli mungkin mengalami cabaran pada separuh masa kedua tahun ini kerana insentif cukai jualan PENJANA akan berakhir pada bulan Jun. Oleh itu, pasaran mungkin mengalami tempoh penyesuaian selepas ini,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Selain daripada penambahan permohonan pinjaman kata Mooi, Proton Commerce juga melihat perubahan dalam demografi pelanggannya dan umur pembeli Proton semakin menurun, menunjukkan barisan produk sekarang berjaya menarik minat pemuda di Malaysia.
"Sebanyak 80% pelanggan Proton Commerce memilih rancangan pinjaman sewa beli selama 9 tahun dan jumlah pinjaman terjejas pula adalah tiga kali lebih rendah dari purata industri.
“2020 adalah satu tahun yang sukar bagi institusi kewangan kerana peruntukan kerugian perlu diambil untuk program moratorium 6 bulan yang diumumkan oleh Bank Negara.
"Bagi Proton Commerce, kestabilan kewangan pelanggan kami bermakna hanya segelintir yang memilih untuk memohon moratorium seterusnya dan dengan penghapusan peruntukan tahun ini, kami berharap dapat menyumbang keuntungan yang baik kepada pemegang saham kami,” kata Mooi. - DagangNews.com