Proton Exora 2023 dibuka untuk tempahan, harga bermula RM62,800 | DagangNews Skip to main content

Proton Exora 2023 dibuka untuk tempahan, harga bermula RM62,800

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Proton melancarkan Proton Exora 2023 secara rasmi yang telah menerima kemas kini di Proton KEB Auto Sdn Bhd TTDI Kajang, Selangor hari ini. 

 

MPV tujuh tempat duduk milik pengeluar kereta nasional itu terdiri daripada penggayaan serba baharu yang merangkumi ciri-ciri penjualan uniknya iaitu Reka Bentuk Luar Biasa, Ruang Yang Besar, Kepintaran Luar Biasa dan Prestasi Menakjubkan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Proton Exora adalah MPV buatan Malaysia pertama yang telah direka dan dibina dengan memikirkan keperluan rakyat. 

 

"Kemas kini terbaru pada Proton Exora 2023 yang merupakan produk terkemuka dalam kelasnya ini telah dinaik taraf dan membuatkan ianya lebih baik untuk semua pemandu dan juga penumpang, merentasipelbagai aplikasi dengan fokus untuk mengukuhkan ciri kuasa, ruang dan nilai. 

 

"Dengan lebih 180,000 unit terjual sepanjang 13 tahun, Proton Exora adalah MPV segmen C dengan penjualan terbaik setakat ini, sehingga hari ini masih mengekalkan kedudukannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


 
Proton Exora 2023 telah dikemas kini di bahagian luaran dalam bentuk logo Proton baharu di gril hadapan dan belakang. Untuk menyerlahkan penampilan 'sporty', ia dilengkapi dengan lampu LED cahaya siang, roda aloi 16” dalam kemasan dwi-tona, skirting sisi dan spoiler belakang. 

 

Bumbung hitam dengan hiasan belakang berwarna hitam memberikan penampilan tersendiri di atas jalan raya bagi Proton Exora 2023.

 

 

proton

 

 

Selain itu, kabin yang luas dengan tujuh tempat duduk kulit, stereng pelbagai fungsi yang dibaluti kulit dan tempat letak tangan bahagian pemandu dan penumpang hadapan memberikan sentuhan mewah dan selesa. 

 

Ciri penting untuk sebuah MPV, setiap barisan tempat duduk dilengkapi dengan penghawa dingin individu untuk penyejukan optimum dengan Penapis Kabin N95, dipasang sebagai standard untuk meningkatkan kualiti udara.

 

 

proton

 

 

Proton Exora 2023 menawarkan sistem infotainmen dengan monitor skrin sentuh 7” dan perintah suara ”Hi Proton” yang kini popular. Navigasi dalam talian, penstriman muzik, ramalan cuaca, 4G dan Wi-Fi membolehkan pengalaman multimedia yang mewah. 

 

Di bawah hud Proton Exora 2023 ialah enjin pengecas turbo 1.6 liter yang dipasangkan dengan transmisi CVT, yang menjana kuasa 140PS dan tork 205Nm. Ditambah dengan pengendalian Proton untuk memberikan pengalaman pengembaraan dalam mana-mana pemanduan.

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Dari segi keselamatan, Proton Exora 2023 telah dilengkapi dengan dua beg udara SRS hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS). Memberi keyakinan yang tinggi dengan kamera undur dan sensor parkir belakang.

 

 

proton
Roslan Abdullah (dua dari kanan) bergambar ketika pelancaran Proton Exora 2023 di Proton KEB Auto Sdn Bhd TTDI Kajang, Selangor pada 19 Ogos 2022.

 

 

Proton Exora 2023 kini telah dibuka untuk tempahan dalam talian dan di pusat pameran Proton yang sah. Ia boleh didapati dalam lima warna yang menarik, termasuk Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey.

 

Harga atas jalan tanpa insurans untuk varian 1.6T Executive CVT bermula pada RM62,800, manakala varian 1.6T Executive CVT (RM62,800) bagi Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com