Proton lancar rangkaian minyak pelincir PGO | DagangNews Skip to main content

Proton lancar rangkaian minyak pelincir PGO

Minyak pelincir ini boleh didapati di stokis alat ganti, walaupun pada waktu ini hanya terhad kepada PGO 3 dan PGO 4.

 

 


KUALA LUMPUR 15 Okt. - Proton hari ini melancarkan rangkaian produk minyak pelincir yang diformulasi secara ekslusif untuk kereta jenama syarikat tersebut. 

 

Produk ini di bawah jenama alat ganti tulen syarikat, terdapat 4 gred di dalam senarai Minyak Pelincir Proton (PGO) iaitu dari PGO 1 ke PGO 4, yang termasuk minyak sintetik penuh, minyak semi-sintetik dan minyak pelincir jenis mineral.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pelancaran minyak pelincir PGO adalah satu langkah baharu bagi perjalanan Proton untuk menjadi jenama automotif premium di Malaysia. 

 

"Kami bekerja dengan rakan niaga dalam penghasilan formulasi bagi memastikan ia mencapai tahap yang diinginkan oleh kami dan memberikan pelanggan perlindungan enjin untuk model Proton mereka dengan harga berpatutan. 

 

"Dengan senarai penuh produk tersebut, keseluruhan rangkaian model dirangkumi termasuk enjin baharu TGDI yang digunapakai pada SUV kami," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Dengan mengambil manfaat daripada kerjasama bersama rakan teknikal, rangkaian minyak pelincir PGO
diformulasikan secara spesifik untuk enjin kereta Proton oleh Petronas. 

 

Dihadirkan dengan spesifikasi 5W30 SP, 5W30 SN, 10W30 SN dan tahap kelikatan 15W40 SN dengan API SP dan tahap API SN, kesemuanya boleh didapati di wakil servis Proton yang sah. 

 

Minyak pelincir tersebut juga boleh didapati di stokis alat ganti, walaupun pada waktu ini hanya terhad kepada PGO 3 dan PGO 4.

 

Menuju kehadapan, Roslan berkata, Proton juga menerokai peluang kerjasama dengan pembekal untuk memberi lebih nilai kepada pelanggan. 

 

"Kami juga akan mengolah kekuatan rangkaian wakil jualan yang mempunyai jumlah pusat 3S dan 4S terbesar di dalam negara, bagi memastikan produk seperti rangkaian PGO boleh didapati di seluruh negara secepat mungkin," jelas beliau. - DagangNews.com