Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jan - Proton mengakhiri 2021 dengan keputusan yang cemerlang dengan rekod jualan sebanyak 14,147 unit pada bulan Disember menjadikan jumlah jualan keseluruhan 2021 kepada 114,708 unit, jumlah yang tertinggi semenjak 2014.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 4.5% berbanding tahun 2020 dan merupakan pertumbuhan jualan bagi tahun ketiga berturut-turut.
Katanya, Proton X50 mengakhiri tahun 2021 dengan jumlah jualan sebanyak 28,774 unit, tertinggi secara keseluruhan segmen SUV, dan mencapai jumlah jualan bulanan tertingginya pada bulan Disember dengan 4,310 unit.
"Ini adalah bulan kedua berturut-turut di mana jualan melebihi 4,000 unit.
"Proton X70 pula mencatat 16,735 unit dengan jualan sebanyak 1,616 unit bagi bulan lepas. Ini membolehkan ia mendahului kelas SUV segmen-C dan menduduki tangga ketiga bagi jualan SUV keseluruhan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Proton Saga merupakan model terlarisnya untuk tahun 2021 dan berjaya mendekati pesaing terdekatnya untuk bersama mendahului pasaran sedan segmen-A dengan 42,627 unit telah dijual termasuk unit yang dihantar sebagai pek CKD ke luar negara.
"2021 agak sukar bagi industri automotif secara keseluruhan dan ini jelas dilihat dalam penurunan TIV. Dari krisis bekalan cip global kepada peningkatan kes COVID-19 yang menyebabkan PKP dan penambahan kos penghantaran, ada banyak cabaran yang perlu diatasi.
"Oleh sebab itu, pencapaian Proton dalam jumlah jualan tahun lepas amat ketara kerana ia hasil daripada perancangan rapi dan penggunaan sumber yang sedia ada.
Dalam pada itu Roslan berkata, selain daripada jualan, bahagian pembiayaan dan pengedaran di Proton juga mendapat pencapaian yang tinggi pada tahun lepas.
Ujarnya, Proton Commerce telah meluluskan 14,550 pinjaman pada 2021, rekod baharu yang dicapai setelah 2,132 pinjaman diluluskan pada bulan Disember. -DagangNews.com