Proton sahkan seorang kakitangan di ibu pejabat Shah Alam positif COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Proton sahkan seorang kakitangan di ibu pejabat Shah Alam positif COVID-19

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Seorang kakitangan Proton Holdings Berhad (Proton) yang berkhidmat di ibu pejabat Shah Alam disahkan positif COVID-19.

Proton dalam satu kenyataan memaklumkan, kakitangan tersebut telah dihantar ke pusat rawatan kerajaan selepas disahkan positif.

"Proton ingin mengumumkan seorang pekerja disahkan positif jangkitan wabak COVID-19 pada 14 Oktober 2020. 

"Pekerja ini bertugas di bahagian Penyelidikan & Pembangunan di Shah Alam, beliau telah dihantar ke pusat rawatan kerajaan selepas keputusan positif itu diketahui," jelas Proton.

Proton juga memaklumkan pihaknya telah mengikuti kesemua garis panduan pencegahan serta langkah-langkah untuk mengurangkan kemungkinan penularan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pengesanan kontak rapat juga telah dilakukan dan rakan sekerja telah diarahkan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Aktiviti pembersihan dan pembasmian kuman secara menyeluruh telah dijalankan di kesemua tempat kerja Proton.

Tambah Proton, pihaknya memberi keyakinan bahawa risiko jangkitan daripada pekerja berkenaan adalah rendah kerana kakitangan tersebut tidak terlibat dalam urusan bersama pelanggan.

"Sejak permulaan pandemik ini, Proton telah mengikuti semua garis panduan yang dibentang oleh pihak berkuasa dan kami ingin mengesyorkan semua pelanggan bahawa akan
terus berbuat demikian.

"Situasi ini akan dipantau secara terperinci sebelum keputusan untuk langkah-langkah seterusnya diambil. Keselamatan semua pekerja Proton, para pelanggan dan rakyat Malaysia akan sentiasa diutamakan," ujar Proton lagi. - DagangNews.com