Proton sasar Saga, X70 dan X50 gandakan jualan eksport 2021 | DagangNews Skip to main content

Proton sasar Saga, X70 dan X50 gandakan jualan eksport 2021

PERMULAAN operasi pemasangan kenderaan Proton di Kenya pada Disember 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Model Saga serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu X70 dan X50 bakal menerajui unjuran pencapaian eksport dua kali ganda Proton bagi tahun ini. 

 

Proton berhasrat untuk memperkenalkan model-model berkenaan secara beransur ke pasaran antarabangsa. 

 

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, pihaknya telah menggunakan pelbagai strategi untuk mencapai matlamat berkenaan termasuk menjual kenderaan binaan lengkap (CBU) di Malaysia dan menandatangani perjanjian dengan syarikat tempatan untuk memasang kenderaan di luar negara.

 

Steven Xu
Steven Xu

 

“Bahagian jualan antarabangsa Proton telah mencari banyak peluang bagi menambahkan jualan eksport selama dua tahun lepas.

 

“Kami menyasarkan penambahan yang mendadak bagi 2020 tetapi rancangan tersebut terjejas akibat COVID-19. 

 

“Walau bagaimanapun, kami berjaya menambah jualan eksport dan menembusi pasaran baharu seperti Kenya serta melancarkan Proton X50 di Brunei hanya dua bulan selepas ia dilancarkan di Malaysia dan ini memberi dorongan positif untuk usaha kami tahun ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Pasaran eksport penting buat Proton untuk mencapai matlamat jangka masa panjangnya, iaitu ditempatkan sebagai jenama automotif tiga teratas di ASEAN dari segi jualan.

 

Pada bulan Disember, aktiviti seperti permulaan operasi memasang kenderaan di Kenya, dan pelancaran Proton X70 di Pakistan telah dilakukan. 

 

Langkah itu menyumbang kepada pertumbuhan jualan eksport sebanyak 50% pada akhir tahun 2020 berbanding  pertumbuhan 8.8% bagi jualan pasaran tempatan. 

 

Dalam masa sama, walaupun pengedar dan pengimport kenderaan Proton di luar negara dimiliki oleh entiti tempatan, pihak syarikat bekerjasama dengan mereka supaya rancangan pengenalan, promosi dan pelancaran produk bersesuain dengan keadaan pasaran tempatan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, dengan kerjasama rakan antarabangsa, Proton berhasrat untuk menyampaikan mesej yang konsisten di semua pasaran eksport sekali gus memudahkan Proton memperkukuh jenama di pasaran antarabangsa yang lain. 

 

Roslan Abdullah
Roslan Abdullah

 

“Produk baharu kami yang dikemas kini dan dikembangkan bersama Geely mempersembahkan peluang untuk mengubah naratif ini dan kami optimis ia akan menerima sambutan yang hebat di kebanyakan pasaran baharu.

 

“Ini sejajar dengan matlamat kami untuk mempromosikan Malaysia dan vendornya di peringkat serantau dan global. Akhirnya ini akan meningkatkan daya saing mereka dan memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com