Proton tambah aliran pendapatan melalui perniagaan baharu | DagangNews Skip to main content

Proton tambah aliran pendapatan melalui perniagaan baharu

Proton X50 R3 edisi ulang tahun ke-20
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Dalam usaha Proton untuk terus memperluaskan perniagaan, jenama automotif nasional itu sedang mempelbagaikan operasi dan aliran pendapatannya dengan meneroka peluang di dalam dan di luar ekosistem automotif. 

 

Proton memaklumkan, peneraju usaha itu adalah Proton Global Services (PGS), anak syarikat milik Proton Edar, yang dalam masa singkat mengukuhkan dirinya sebagai penyumbang utama kepada rangkaian perniagaan Proton.

 

Katanya, ditubuhkan pada 2021 dengan hanya satu outlet makanan dan minuman dan barangan cenderahati, PGS meluaskan skop operasinya dengan kini merangkumi enam bidang utama, iaitu Gaya Hidup, Kejuruteraan, Latihan, Tenaga Baharu, Logistik dan R3 Motorsports. 

 

"Dipimpin oleh ketua pegawai eksekutifnya, Lee Yeet Chuan, pendapatan meningkat secara eksponen daripada kurang RM1 juta pada tahun 2021 meningkat pula 19 kali ganda pada akhir tahun 2023.

 

"Proton Cafe yang dilancarkan pada 2021 menawarkan kopi premium dan makanan kepada pelanggan dalam suasana yang santai. Setakat ini, 16 cawangan beroperasi di pengedar Proton dengan rancangan untuk mengembangkan jejak perniagaan kepada 25 cawangan menjelang 2025," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, bahagian perniagaannya yang paling dikenali, R3 Motorsports meraikan ulang tahunnya yang ke-20 pada 2023 dengan pelancaran Proton X50 R3 edisi ulang tahun ke-20. 

 

"Tahun ini mereka memberi tumpuan untuk membangunkan kereta lumba Proton S70 R3 dengan matlamat untuk menyertai perlumbaan S1K, dan meningkatkan jualan minyak pelincir R3 berprestasi tinggi," katanya.

 

 

PROTON

 

 

proton

 

 

Proton berkata, selain meneroka peluang jualan komersial, PGS juga menjalankan projek dalam ekosistem Proton, yang mana membolehkan syarikat induk menerima hasil tambahan kerana keuntungan dikongsi dengan Proton Edar. 

 

"Contoh projek sedemikian termasuk menukar lampu di casting plant Proton kepada unit penjimatan tenaga yang lebih cekap dan membekalkan perabot serta mentauliahkan ruang pejabat baharu untuk pemindahan jabatan ke Proton Tanjong Malim.

 

"Bahagian Tenaga Baharu pula memberi tumpuan kepada pengenalan tenaga yang boleh diperbaharui untuk membantu penarafan ESG syarikat sambil menjual rumusan bagi penjimatan kegunaan tenaga," katanya.

 

 

proton

 

 

Inisiatif yang dijalankan termasuk penjualan dan pemasangan sel PV solar kepada pengedar dan vendor Proton serta bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membina bukti konsep untuk pengecasan EV mudah alih, katanya.

 

 

proton
Roslan Abdullah

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, syarikat kini mampu mengawal kos operasi dengan lebih baik manakala operasi jualan komersil PGS membolehkan pihaknya memanfaatkan kekuatan rangkaian pengedar dan imej jenama dan memaksimumkan peluang hasil daripada jualan barangan, makanan dan minuman dan minyak pelincir berprestasi tinggi.

 

"Untuk masa hadapan, perancangan dilakukan untuk mengembangkan penggunaan tenaga bersih yang boleh diperbaharui untuk Proton dan vendor kami sementara kerja sedang dijalankan antara PGS dan rakan kejuruteraannya untuk membangunkan rumusan penyimpanan tenaga dan pengecasan yang penting untuk  model Proton masa hadapan," katanya. - DagangNews.com