PRU, jika jawatankuasa jamin COVID-19 pulih, kata PM | DagangNews Skip to main content

PRU, jika jawatankuasa jamin COVID-19 pulih, kata PM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Tiada sebarang pilihan raya boleh diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini, tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam taklimat khas pagi tadi. 

 

Dalam keadaan biasa, pilihan raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi diisytiharkan kosong manakala pilihan raya negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. 

 

Beliau berkata, untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan. 

 

Jawatankuasa ini, katanya, bagi menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

 

"Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan. Saya tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya.

 

"Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

 

"Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan ialah pandemik COVID-19," katanya. 

 

Perdana Menteri berkata, keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada 5 prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs

 

"Saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan," jelas beliau.

 

Pada masa itu, katanya, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan rakyat 

 

"Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah," katanya.  

 

Menurut Muhyiddin, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat. 

 

"Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab," tegasnya. - DagangNews.com