KUALA LUMPUR 13 Okt - Pembubaran Parlimen - yang menimbulkan ketidaktentuan politik sekarang, tidak semestinya memberi kesan buruk kepada urus niaga pasaran hartanah.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Datuk NK Tong berkata orang ramai yang perlu membeli rumah tetap akan berbuat demikian, tidak kira sama ada Parlimen telah dibubarkan atau tidak; atau jika Pilihan Raya Umum ke-15 atau PRU15 semakin hampir.
“Ada orang yang sudah mengenal pasti rumah yang mereka mahu dan sudah berunding dengan bank mereka.
“Kerajaan baharu, sama ada baharu-baru atau lama-baru, tidak akan menjejaskan hakikat bahawa rakyat masih memerlukan bumbung di atas kepala mereka,” katanya pada taklimat media semalam.
Tong berkata sesetengah orang mungkin telah menghabiskan dua tahun lalu merancang untuk membeli rumah.
"Kemungkinan, mereka akan menemui sesuatu yang mereka inginkan dan mereka masih memutuskan sama ada belanjawan mereka sesuai untuk mereka."
Tong mengakui bahawa pasaran hartanah sedang menghadapi masalah pada masa ini.
“Walaupun bermasalah, ada juga positif. Kini ekonomi dibuka, PKP telah berakhir, orang ramai keluar dan pada separuh pertama tahun ini, terdapat banyak belanja `balas dendam' dan perjalanan.
“Membeli hartanah, bagaimanapun, mengambil sedikit masa lagi. Itu kerana rumah adalah benda yang sangat mahal. Anda bukan saja-saja masuk ke galeri jualan dan mengeluarkan kad kredit anda untuk membeli hartanah.”
Tong berharap kerajaan baharu akan melaksanakan dasar yang akan membantu merangsang pasaran hartanah.
“Kami berharap rakyat mengundi dengan bijak supaya kita mempunyai kerajaan yang baik, kukuh, bersih yang meletakkan dasar yang sangat baik yang akan menjadikan rumah lebih mampu milik kepada rakyat,” katanya. - DagangNews.com