PRU15 : Impak risiko politik kepada pasaran yang tidak boleh dipandang remeh | DagangNews Skip to main content

PRU15 : Impak risiko politik kepada pasaran yang tidak boleh dipandang remeh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Okt - Prospek pasaran ekuiti Malaysia masih kekal membimbangkan pada suku akan datang dengan tinjauan pertumbuhan 2023 dilihat masih terumbang-ambing dipengaruhi ketidaktentuan luaran selain mengambil kira impak daripada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15). 

 

Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia berkata, prospek ekonomi dipengaruhi kebimbangan makroekonomi dan dasar monetari yang ketat seperti ditunjukkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di samping tekanan geopolitik dan sekatan pergerakan di China bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Menurutnya, kelembapan pertumbuhan global pada tahun hadapan akan memberi impak negatif kepada ekonomi domestik, hasil korporat, sentimen pelabur dan kecenderungan risiko.

 

Ini ditambah lagi dengan PRU15 yang akan menyebabkan ketidaktentuan dalam tempoh jangka pendek, tetapi ia kemungkinan neutral kepada pasaran selagi kedaulatan undang-undang dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

 

"Kami berpendapat Bajet 2023 perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baharu. Barisan Nasional (BN) yang memenangi majoriti selesa dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka baru-baru ini, menyaksikan pengulas politik nampaknya yakin dengan keputusan pilihan raya yang menggalakkan untuk gabungannya.

 

"Kami berpendapat keputusan adalah jauh daripada terjamin, dan banyak yang akan bergantung pada tahap keluar mengundi. 

 

"Tahap kelesuan politik yang tinggi dan sikap tidak peduli pengundi terutamanya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi kali pertama akan memastikan kembalinya kerajaan lama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

bajet2023
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, 7 Oktober lalu.

 

 

Tetapi, Chia mendapati, kebanyakan parti politik belum meletakkan panduan yang jelas mengenai barisan kepimpinan baharu.

 

Beliau berpendapat, penyandang yang berakar umbi telah menghalang proses pembaharuan, mengukuhkan sebab mengapa mereka gagal berhubung dengan pengundi terutamanya dalam kalangan generasi muda.

 

"Kedua-dua pihak, setakat ini, tidak dapat menyampaikan naratif politik atau ekonomi yang meyakinkan," jelasnya.

 

Minggu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.

 

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

 

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

 

 

Parlimen Malaysia

 

 

Mengulas lebih lanjut, Chia berkata, jika tercetusnya kepimpinan politik yang lemah, ia akan mengakibatkan kerajaan mungkin tidak dapat melaksanakan reformasi jangka panjang manakala persoalan mengenai jangka hayatnya akan menjadi negatif untuk pasaran, termasuk pelabur asing.

 

Sebaliknya, katanya, kerajaan dengan majoriti yang kukuh selepas PRU15 akan menjadi pilihan bagi pelabur.

 

"Namun, apa yang pasaran mahukan ialah kerajaan yang mendukung kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan impak yang positif daripada PRU15 hanya akan mempunyai pengaruh jangka pendek pada pasaran yang prospek asasnya kekal bergantung pada evolusi persekitaran makroekonomi global," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, beliau mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 6% dengan momentum pertumbuhan akan berterusan pada separuh kedua meskipun lebih perlahan disebabkan ketidaktentuan di peringkat domestik dan global. 

 

Pada separuh pertama 2022, KDNK berkembang 6.9% setelah mencatat pertumbuhan 5% pada suku pertama dan 8.9% pada suku pertama.

 

"Memandangkan Malaysia telah memasuki fasa endemik, aktiviti ekonomi pada 2023 akan dinormalisasi sepenuhnya walaupun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 4.5% (di mana dalam arah aliran, pertumbuhan dalam penilaian kami ialah 5.0%) berbanding 6% pada 2022.

 

"Ketidaktentuan luaran dan dalaman akan terus mengheret pertumbuhan ekonomi terutamanya pada separuh pertama 2023," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Dari segi luaran, kebimbangan kemelesetan dalam keadaan pertumbuhan ekonomi utama yang lebih perlahan di China, Kesatuan Eropah (EU) dan AS berkemungkinan menjejaskan prestasi perdagangan Malaysia.

 

Di peringkat domestik, isu ruang fiskal yang terhad, kos sara hidup yang tinggi dan kekurangan buruh berkemungkinan berterusan.

 

Chia turut menyemak semula unjuran inflasi pada 2023 sekitar 3% berbanding 2% sebelum ini berikutan pelarasan subsidi yang mungkin dilaksanakan kerajaan pada tahun hadapan. 

 

"Namun, kami mengekalkan ramalan OPR pada 3.0% dan menjangkakan ia akan dilaksanakan lebih awal atau sebaliknya.

 

"Kadar faedah sebenar yang rendah akan terus mendorong tekanan inflasi teras, manakala tekanan luaran daripada Rizab Persekutan AS yang 'hawkish' membayangkan normalisasi OPR akan berterusan pada bulan-bulan akan datang," jelasnya.

 

Beliau berkata, pelarasan harga makanan dan bahan api, momentum inflasi dan kekuatan dolar AS berbanding ringgit boleh merumitkan penilaian trajektori kenaikan OPR.

 

Mengambil kira persekitaran operasi yang masih mencabar, RHB Investment menyemak semula unjuran akhir tahun FBM KLCI lebih rendah kepada 1,510 mata berbanding RM1,580 mata. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan, institusi kewangan bukan bank (NFI), minyak & gas, penjagaan kesihatan, bahan binaan dan perjudian manakala 'underweight' bagi sektor sarung tangan getah. - DagangNews.com