PRU15: Majikan tidak dibenarkan mendenda, potong gaji pekerja yang keluar mengundi pada 19 Nov 2022 | DagangNews Skip to main content

PRU15: Majikan tidak dibenarkan mendenda, potong gaji pekerja yang keluar mengundi pada 19 Nov 2022

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 10 Nov - Majikan adalah tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

 

Kementerian Sumber Manusia mengingatkan bahawa majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, PRU15 telah ditetapkan pada Sabtu, 19 November 2022, manakala undi pos bagi mereka yang layak telah ditetapkan pada Selasa, 15 November 2022. Hak ini diperuntukkan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

 

Sehubungan itu kata beliau, Kementerian Sumber Manusia menggesa semua majikan dalam sektor swasta untuk memberikan kebenaran kepada para pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi selaras dengan peruntukkan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

 

"Para majikan hendaklah berbincang dengan pihak pekerja berkenaan dengan opsyen untuk pemberian “time-off”, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi
tujuan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

 

"Para majikan boleh mengambil langkah-langkah seperti memberi “time-off” kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau memberi pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.

 

Menurut Saravanan, bagi pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi pula boleh mengambil cuti tahunan. - DagangNews.com