BAYAN LEPAS 13 Sept - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan bahawa beliau mungkin berjumpa dengan 'top five' UMNO untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum pembentangan Bajet 2023.
'Top five' merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi UMNO terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.
"Macam saya beritahu sebelum ini apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu 'top five' UMNO bermesyuarat.
"Bila mesyuarat? Mesyuarat itu secepat mungkin," kata Perdana Menteri menjawab pertanyaan media berhubung kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini, Berita Harian melaporkan.
Ismail Sabri turut ditanya sama ada pertemuan itu akan berlangsung selepas pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Oktober ini.
"Mungkin awal (sebelum Bajet 2023)," katanya ringkas.
Mengulas mengenai keadaan kesihatan Datuk Seri Najib Razak, Ismail Sabri berkata, beliau sudah berhubung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan keperluan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
"Saya akan periksa. Semalam saya sudah menghubungi KKM apa sahaja yang diperlukan kita cuba penuhi. Kalau perlu masuk ke mana-mana (hospital) KKM akan putuskan," katanya.
Terdahulu Ismail Sabri menghadiri Majlis Perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Setia SPICE oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. - DagangNews.com