KUALA LUMPUR 4 Julai – Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) mewujudkan program bagi membantu bakal graduan pengajian perniagaan dan kewangan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dalam memulakan perjalanan kerjaya mereka.
Program ini termasuk panduan temu duga, penyediaan CV dan kemahiran pembentangan, memberikan kelebihan berdaya saing kepada pelajar dalam pasaran kerja.
Selain itu, perkongsian PAMB dan UTAR ini juga akan memberi peluang latihan industri kepada pelajar di pejabat korporat PAMB dan agensi insurannya di seluruh negara.
Mereka juga berpeluang untuk melibatkan diri dalam program Pendidikan Kewangan Belia PAMB yang menggalakkan celik kewangan dalam kalangan belia.
Selain itu, perkongsian ini yang dijalin menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara PAMB dan UTAR juga akan memberi peluang latihan industri kepada pelajar di pejabat korporat PAMB dan agensi insurannya di seluruh negara.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Lim Eng Seong dan Presiden UTAR, Datuk Ewe Hong Tat.
Menurut kenyataan media, Lim Eng Seong berkata, “Sempena ulang tahun PAMB yang ke-100 di Malaysia, kami memandang ke masa hadapan bagi memberi inspirasi kepada generasi akan datang apabila mereka memasuki tenaga kerja.
“Oleh itu, usaha MoU dengan UTAR itu menandakan komitmen kami untuk memperkasakan pelajar dengan alat yang mereka perlukan untuk melangkah ke dunia di luar sana dengan yakin dan mula membina kerjaya mereka,” ujarnya
Datuk Ewe Hong Tat berkata, “Kepentingan kerjasama industri-akademik tidak boleh dipertikaikan. Ia adalah hubungan simbiotik di mana ahli akademik menyediakan kepakaran, keupayaan penyelidikan dan kumpulan bakat, manakala industri menawarkan pandangan praktikal, cabaran dan peluang untuk penerapan.
“Bersama-sama, kita membentuk ekosistem teguh yang memupuk inovasi, menangani keperluan masyarakat dan memacu kemajuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini
Perkongsian itu diterajui oleh Agensi Pengedaran PAMB yang menguruskan pengambilan dan pembangunan perancang kewangan Prudential dan Fakulti Perniagaan dan Kewangan UTAR.
Sementara itu, pelajar akan diberi peluang untuk merasai pengalaman kerja industri di agensi insurans Prudential dan mempelajari selok-belok pekerjaan.- DagangNews.com